AYER KEROH: Pemilihan Adly Zahari sebagai calon ketua menteri bakal membantu Pakatan Harapan (PH) untuk kembali ke landasan yang betul dengan agenda reformasi mereka, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pemilihan itu juga selaras dengan cita-cita dan prinsip mereka yang dekat dengan aspirasi rakyat biasa.

Katanya lagi, DAP dan PH yakin Adly diterima ramai kerana terkenal sebagai bekas ketua menteri yang mesra rakyat selain mempunyai latar belakang bersih.

“Bersatu di belakang calon ketua menteri yang berwibawa seperti Adly, PH menawarkan alternatif yang tulen berbanding dengan pentadbiran PN (Perikatan Nasional) atau BN (Barisan Nasional) yang gagal dalam menguruskan pandemik COVID-19 yang menyebabkan rekod jangkitan dan kematian tertinggi serta gagal mengatasi kemelesetan ekonomi.

“Kedua-dua PN dan BN tidak mempunyai kredibiliti dan rekod prestasi dalam menyatupadukan rakyat, bersikap inklusif dan mendahulukan rakyat daripada kroni,” katanya dalam kenyataan itu.

Adly yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menjadi Ketua Menteri Melaka ke-11, selepas PH berjaya mendapat majoriti diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum lepas.

Namun, beliau terpaksa melepaskan jawatannya kepada Datuk Seri Sulaiman Md Ali daripada UMNO-BN, selepas gagal mendapat sokongan yang mencukupi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Mac 2020.

Pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Maju bersama Harapan di Melaka semalam, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Adly sebagai calon ketua menteri mereka untuk pilihan raya negeri kali ini.

Sementara itu, BN pula mengumumkan Sulaiman sebagai calon ketua menteri sewaktu majlis pelancaran manifesto mereka pada Rabu.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, DAP menyokong cadangan Anwar untuk mengadakan debat di televisyen antara calon ketua menteri PH dan BN Melaka bagi membolehkan pengundi membuat pilihan dengan maklumat yang tepat.

“Malangnya PN masih tidak dapat memutuskan calon mereka untuk ketua menteri. DAP menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia (Tan Sri) Annuar Musa bertindak segera supaya semua pihak diberi masa saksama di televisyen dan radio, untuk berkempen bagi pilihan raya Melaka berikutan larangan calon dan parti politik berkempen atau bertemu pengundi.

“Tiada sebarang sebab untuk melengahkan perkara ini memandangkan debat di televisyen yang diterima baik antara saya dan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri) Wee Ka Siong berkenaan dasar kabotaj Wee yang gagal dalam pembaikan kabel dasar laut.

"Di sebalik kegagalan Wee untuk berpegang kepada fakta dan angka, ini akan membolehkan pengundi membuat keputusan sendiri mengenai siapa yang paling layak, cekap, dan berwibawa serta mempunyai integriti politik untuk menjalankan agenda reformasi dan menubuhkan kerajaan yang baik,” dakwanya lagi.