KUALA LUMPUR: Kecenderungan parti-parti politik meletak calon-calon muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan satu anjakan paradigma dalam landskap politik negara.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali, parti-parti politik di negara ini dilihat mengakui hakikat kepentingan undi orang muda.

Beliau juga berpendapat kecenderungan parti politik menamakan calon muda juga disebabkan gerak kerja agresif orang muda sangat diperlukan dalam mencorakkan masa depan negara.

"Nampaknya parti-parti politik sekarang mengakui hakikat bahawa jumlah pengundi muda diraikan dengan menawarkan calon-calon muda.

"Asasnya calon muda ini boleh menjanjikan satu yang baik untuk rakyat kerana fikiran mereka yang masih muda dan baharu. Saya percaya akan mencetuskan satu persaingan yang menarik di Melaka," katanya kepada Astro AWANI.


PRN Melaka | Penentuan calon pilihan rakyat

Mengulas pemilihan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sebagai calon PRN Melaka, beliau menyifatkannya sebagai satu strategi yang boleh memberi kekuatan kepada Pakatan Harapan (PH).

"Pada saya ini satu tawaran dari Pakatan Harapan kepada rakyat Melaka untuk membuat pilihan yang sewajarnya,

"Saya kira itu satu perkara yang nampak positif pada pemerhatian awal," katanya lagi.

Pakatan Harapan mengumumkan calon-calon mereka pada Sabtu dengan meletakkan seorang calon berusia 21 tahun di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Sungai Rambai.

Selain itu PH juga menamakan dua bekas ADUN UMNO, Datuk Seri Idris Haron di DUN Asahan dan Datuk Nor Azman Hassan di DUN Pantai Kundor.