KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) didapati paling banyak menggunakan retorik kaum dan agama dalam meraih undi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Itu hasil tinjauan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pusat Komas melalui program kempen #KamiNampak yang dijalankan pada PRN berkenaan.

Pengarah program itu, Ryan Chua Yumin, memberitahu daripada 22 dapatan sepanjang kempen #KamiNampak, BN merekodkan lima bendera kuning (serius) dan tiga bendera merah (paling serius).

Ia katanya diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) dengan empat bendera kuning dan satu bendera merah, sementara Pakatan Harapan (PH) pula merekodkan tiga bendera kuning dan satu bendera merah.

Calon Bebas dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) pula dilihat tidak berkongsi sebarang hantaran yang menggunakan isu kaum di media sosial mereka.

"Tinjauan itu dilakukan berdasarkan hantaran sama ada calon atau parti berkaitan di media sosial seperti aplikasi Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok selama 10 hari iaitu dari 9 November hingga 19 November
2021," katanya dalam sidang media yang dikendalikan secara dalam talian di sini, pada Isnin.







Mengulas lanjut, Ryan Chua memberitahu, antara isu-isu perkauman yang dibangkitkan termasuk mengenai  arak berjenama Timah buatan Malaysia dan penutupan kedai nombor ekor di Kedah.

Beliau menjelaskan, 16.2 peratus daripada dapatan mengenai retorik kaum adalah mengaitkan politik berasaskan kaum.

Katanya, bagi BN, 25 peratus daripada mesej mereka cuba menonjolkan diri sebagai bersikap adil kepada semua kaum tanpa mengira etnik dan status, tetapi pada masa yang sama menyatakan sokongan kepada hak Bumiputera.

Menurutnya, 36 peratus daripada kandungan kempen PH pula dilihat cuba mengetengahkan BN sebagai mengabaikan kaum bukan Bumiputera dengan memberi contoh peruntukan Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini.

Justeru, Rayan Chua menyeru ahli dan parti politik supaya berhenti mengeksploitasi kaum dan agama dalam aktiviti atau kempen politik mereka kerana ia bakal memberi impak negatif kepada rakyat.