BATU BERENDAM: Pembinaan rumah baharu di kawasan kampung perlu disertakan dengan sistem perparitan yang teratur bagi menangani masalah banjir berulang.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood berkata, cadangan itu antara perkara yang mahu diperjuangkannya sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Menurutnya, pembangunan rumah yang tidak tersusun, khususnya di kawasan kampung, menyebabkan sistem saliran tidak dapat berfungsi dengan baik.
"Saya nak minta adakan satu syarat. Setiap rumah yang nak dibina ini kena sediakan longkang, perparitan, penting.
"Kalau tak ada, memang tak selesailah isu banjir ini." katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Jumaat lalu.
Siti Aisyah berkata, ketiadaan sistem perparitan turut menyukarkan usaha kerajaan menangani masalah banjir kerana memerlukan peruntukan tambahan untuk pembinaan longkang.
Untuk rekod, sehingga Julai 2026, kerajaan Melaka berjaya mengurangkan jumlah kawasan panas banjir daripada 124 kepada 102 lokasi menerusi pelaksanaan projek tebatan banjir, kerja penyelenggaraan saliran serta pelbagai langkah mitigasi.
Pada masa sama, Siti Aisyah turut berhasrat memberi perhatian terhadap isu kebersihan dan pengurusan sampah yang memerlukan kerjasama penduduk serta agensi berkaitan.
Pada PRN kali ini, Siti Aisyah dijangka berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Jason Tze-Xi Nathan, selain bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang kembali mencabar kerusi berkenaan.
Pengkalan Batu merupakan antara kerusi marginal di Melaka selepas BN memenanginya dengan majoriti tipis 131 undi pada PRN 2021.
Ketika itu, Datuk Kalsom Noordin memperoleh 4,839 undi menewaskan calon PH, Muhamad Danish Zainudin yang meraih 4,708 undi dalam pertandingan lima penjuru.