MELAKA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan rapi bagi memastikan bekalan elektrik di pusat pengundian dan penjumlahan undi tidak terganggu pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Ketua Operasi Bahagian Rangkaian Pembahagian TNB Mohd Yusof Ibrahim berkata tumpuan persiapan meliputi aspek teknikal dan operasi selain bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Persiapan yang telah dilakukan melibatkan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka, Jabatan Kerja Raya Melaka dan pihak berkuasa tempatan, bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di pusat pengundian dan penjumlahan undi yang terlibat.

"Persiapan ini telah mula dilakukan seawal bulan lepas sehingga upacara angkat sumpah Ketua Menteri baharu selesai, kerana TNB berusaha memastikan gangguan yang minimum, atau tidak berlaku sebarang gangguan sepanjang tempoh pilihan raya," katanya dalam kenyataan di sini hari.

Beliau berkata selain itu, bilik gerakan negeri dan bilik gerakan operasi juga diwujudkan dan warga kerja teknikal diletakkan dalam keadaan bersiap sedia sepanjang hari pengundian.

Katanya, TNB turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain antaranya membuat penjadualan henti tugas terancang, pembaikan segera pepasangan kabel bawah tanah dan menaik taraf pencawang sedia ada kepada fasiliti yang dikawal secara automasi melalui sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data Berkomputer (SCADA).

Sementara itu, Mohd Yusof berkata parti politik dinasihatkan agar tidak menampal atau menggantung sebarang bentuk bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk pada menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas milik TNB, kerana perbuatan tersebut boleh mengancam keselamatan awam dan menjejaskan bekalan elektrik.

"Orang ramai yang melihat situasi berkenaan boleh menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan segera dapat diambil bagi mencegah berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

-- BERNAMA