BATU BERENDAM: Pengalaman menguruskan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka menjadi sandaran calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Calonnya, Siti Aisyah Mahmood berkata, pengalaman berkenaan memberinya pendedahan dalam pengurusan kewangan, kemudahan awam serta pelaksanaan program kemasyarakatan.
Menurutnya, antara pencapaian ketika menguruskan UTC Melaka adalah mengubah kedudukan kewangan daripada menanggung hutang RM3 juta kepada mencatat lebihan RM2 juta.
Beliau turut mendedahkan berjaya mengurangkan bil elektrik bulanan daripada kira-kira RM45,000 kepada antara RM15,000 hingga RM18,000 menerusi langkah penjimatan tenaga.
"Saya dapat kerja itu, saya ada hutang RM3 juta. Tapi bila saya habis kerja, saya tinggalkan duit RM2 juta keuntungan. Itulah orang kata kerja keras saya ketika itu," katanya ketika wawancara bersama Astro AWANI pada Jumaat lalu.
Siti Aisyah yang mempunyai latar belakang dalam sektor automotif sebelum menyertai pengurusan UTC berkata, pengalaman berkhidmat kepada masyarakat turut diperkukuh ketika bertugas sebagai Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pengkalan Batu.
Beliau yakin rekod perkhidmatan di kawasan berkenaan memberi kelebihan untuk meraih kepercayaan pengundi meskipun berdepan saingan calon lain.
"Kita sudah biasa santuni rakyat, sudah bekerja keras. Muka saya ni dah selalu turun pandang," katanya lagi.
BN mempertaruhkan Siti Aisyah sebagai muka baharu menggantikan penyandang, Datuk Kalsom Noordin yang tidak dicalonkan semula.
Beliau turut dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Jason Tze-Xi Nathan, bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) Goh Han @ Goh Han Koon.
Pada PRN 2021, Kalsom memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 131 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Keputusan itu menjadikan Pengkalan Batu antara kerusi marginal yang menjadi perhatian pada PRN kali ini.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Pengkalan Batu mempunyai seramai 25,948 pemilih berdaftar.