KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk membuat keputusan berkaitan penggunaan lambang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Mohd Khairuddin Aman Razali, parti itu telah membincangkan penggunaan lambang tersebut dari sudut Siyaasah Syar'iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

“MSU melihat aspek ini dalam kerangka perkara-perkara "mutaghyyirat" (boleh berubah) dan bukannya perkara "thawabit" (yang tetap).

“Justeru, Majlis Syura 'Ulamak menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 84,” ujar kenyataan tersebut.

BACA: PRN Melaka: Bersatu dan Pas perlu realistik, Melaka kubu UMNO - Penganalisis 

BACA: PRN Melaka: MN atau PN, Sanusi nafi Pas dalam dilema pilih rakan kerjasama 

Dalam pada itu, Majlis Syura Ulamak juga menetapkan bahawa perwakilan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) ke Muktamar Tahunan Pas Kali ke-67 pada 6 dan 7 November 2021 nanti adalah berstatus pemerhati.

"Pemilihan Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat untuk sesi 2021/2023 pula akan diadakan seberapa segera dengan merujuk kepada Aturan dan Peraturan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

“Hal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Pas, Fasal 87 (2) dan Fasal 91 (1),” tambah kenyataan itu lagi.

Selain itu, Majlis Syura Ulamak telah meluluskan kelayakan untuk calon-calon Pilihan raya Negeri Melaka bagi tindakan selanjutnya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 26(9)(f).

Majlis Syura ‘Ulamak yang telah bermesyuarat pada Ahad di Pejabat Agung Pas Pusat, Kuala Lumpur turut sebulat suara memilih dan memperbaharui pelantikan Datuk Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am Pas berkuat kuasa hari ini untuk  tempoh selama 5 tahun sebagaimana peruntukan Perlembagaan Pas, Fasal 8 (6).



Politik | Pas sanggup main '100 kolam' demi penyatuan ummah