ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 29 Oktober 2026.
Mohd Shuhaily kembali bertugas di PDRM - Saifuddin Nasution
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
FELCRA tanggung yuran pengajian anak peserta cemerlang hingga tamat pengajian – Zahid
FELCRA Berhad diarahkan menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak peserta yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sehingga tamat pengajian.
KDN arah semua agensi, jabatan, perkukuh persiapan hadapi Monsun Timur Laut
Semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarah untuk melaksanakan persiapan rapi aset dan logistik bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula hujung bulan ini dan berterusan hingga Mac tahun hadapan.
CSA MADANI: Bersatu jamin sokong Belanjawan, namun kekal prinsip semak dan imbang
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Khamis memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement - CSA) bersama Kerajaan MADANI bagi menjamin kelulusan Belanjawan serta memastikan kestabilan politik negara.
Rampasan aset RM400 juta mafia korporat bukti ketegasan MADANI, Rafizi perlu henti kritik - AMK
Tindakan merampas aset bernilai lebih RM409 juta dalam siasatan dakwaan ‘mafia korporat’ membuktikan ketegasan kerajaan MADANI dalam menyelesaikan isu tersebut.
Malaysia kecam serangan Houthi, nyatakan solidariti dengan Arab Saudi
Malaysia menyatakan solidariti dengan Arab Saudi susulan isu keselamatan yang dihadapi negara itu serta menegaskan kesediaan untuk memberikan bantuan mengikut kemampuan.
Jangan guna gelaran untuk kepentingan peribadi, peluang perniagaan - Sultan Nazrin
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan Ahli Dewan Negara negeri Perak dan pembesar istana supaya tidak sekali-kali menggunakan nama raja, pengaruh istana atau gelaran disandang untuk mendapatkan keuntungan peribadi, mencari laba dan peluang perniagaan.
KTMB tawar 1.57 juta tempat duduk ETS dan ERT bagi suku pertama 2027, tiket mula dijual 2 Nov
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 1,573,872 tempat duduk bagi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) untuk tempoh Januari hingga Mac 2027, meningkat 39 peratus berbanding tempoh sama tahun ini.
JAWI laksana kaedah kubur bertingkat bagi jenazah tanpa waris
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memulakan pelaksanaan kaedah pengebumian secara kubur bertingkat bagi jenazah yang tidak mempunyai waris di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong, di sini, pada Selasa.
Deepavali: 11 barangan dikawal harga mulai 4 Nov
Sebanyak 11 jenis barangan keperluan diwartakan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali yang berkuat kuasa dari 4 hingga 10 November ini.