KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

PKR yang bertanding di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tewas di DUN Paya Rumput selepas hanya meraih 6,201 undi berbanding lawannya Datuk Rais Yasin (BN) yang menang kerusi itu dengan 6,830 undi.

Rais peroleh majoriti 629 undi, meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Faris Izwan Mazlan yang mendapat 3,972 undi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] [RASMI] BN menang dengan majoriti dua pertiga kerusi

Calon Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Mohamad Hashidi Mohd Zin, yang mendapat 81 undi dan  Mohd Jaini Dimon (Bebas) yang meraih 127 undi, diisytihar hilang deposit.

Selain itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Prasanth Kumar Brakasam yang bertanding di DUN Rim hanya mendapat 2,163 undi.

Dia tewas di tangan Datuk Khaidirah Abu Zahar atau dikenali sebagai Dira daripada BN yang mendapat 4,037 undi dengan majoriti 1,327 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, PN yang meletakkan Azalina Abdul Rahman meraih 2,710 undi.

BACA: PRN Melaka: PKR sasar pertahan tiga kerusi, rampas empat termasuk Lendu - Halim Bachik

Percaturan PKR yang meletakkan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron di DUN Asahan juga tidak mengena apabila hanya mendapat 2,666 undi.

Pencabarnya, Fairul Nizam, yang merupakan muka baharu dipertandingan BN berjaya memperoleh majoriti 2,993 undi, apabila menerima 5,659 undi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Halim Bachik sebelum ini memaklumkan bahawa PKR menyasarkan untuk menguasai tujuh daripada 11 kerusi yang ditandinginya pada PRN tersebut.

Halim berkata daripada sasaran tujuh kerusi itu, tiga kerusi yang akan dipertahankan iaitu kerusi DUN Rembia, Kelebang dan Machap Jaya yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.