Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Rundingan kerjasama PH-BN diurus jawatankuasa pilihan raya - Anwar

MELAKA, 16 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyempurnakan pelancaran buku Temu Fikrah pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini._BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebarang perbincangan mengenai kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dikendalikan oleh jawatankuasa pilihan raya kedua-dua gabungan berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan.

Menurut beliau, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menguruskan perbincangan tersebut.

“Itu memang jawatankuasa pilihan raya yang bincang seperti biasa.

“Kita ada Amirudin dan Saifuddin untuk bincang,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perbincangan antara PH dan BN mengenai kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka telah bermula.

Terdahulu, Saifuddin dilapor, tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan kerjasama menjelang pilihan raya negeri itu.

Saifuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, perbincangan tersebut berkemungkinan diadakan selepas Ab Rauf pulang daripada lawatan kerja di New Zealand.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan bahawa gabungan itu masih membuka ruang rundingan berhubung pengagihan kerusi bagi PRN Melaka, termasuk pertukaran kawasan, selagi ia dilakukan secara jujur dan ikhlas.

Must Watch Video

Advertisement