AYER KEROH: Sokongan pengundi bukan hak mana-mana parti politik, termasuk DAP yang perlu terus membuktikan relevansinya dalam landskap politik yang semakin berubah.
Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, kepercayaan rakyat tidak boleh bergantung kepada sokongan tradisi, sebaliknya perlu dipertahankan menerusi dasar dan prestasi wakil rakyat.
Menurut calon Pakatan Harapan (PH) itu, perubahan sokongan pengundi termasuk dalam kalangan masyarakat Cina menjadi peringatan bahawa kesetiaan terhadap sesebuah parti tidak kekal.
"Kita mungkin menganggap kebanyakan pengundi Cina akan menyokong PH dan dalam konteks itu DAP. Tetapi sebenarnya perkara itu mungkin benar untuk tempoh 10 hingga 15 tahun lalu," katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Justeru, Kerk selaku calon DAP berpandangan parti itu perlu sentiasa menilai pendekatannya agar dasar dan tawaran relevan dengan cabaran semasa.
Beliau mengakui retorik berasaskan kaum masih menjadi cabaran kepada DAP, khususnya apabila parti itu sering digambarkan hanya memperjuangkan kepentingan satu kaum.
Menurutnya, sentimen perkauman secara berlebihan boleh mengalihkan perhatian daripada perbincangan mengenai dasar dan masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
Mengulas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Kerk berkata, DAP menyasarkan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya empat kerusi penyandang seperti digariskan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook.
Bagaimanapun, beliau mengakui Ayer Keroh antara kerusi yang mencabar untuk dipertahankan, sekali gus menuntut usaha lebih gigih bagi mendapatkan semula kepercayaan pengundi.
Lapan tahun bekerja, kini rakyat menilai
Bagi Kerk, rekod perkhidmatan sepanjang dua penggal menjadi antara sandaran utama untuk mempertahankan kerusi Ayer Keroh, bukannya bergantung kepada sentimen politik ketika musim pilihan raya.
"Kita bukan baru mula bekerja dalam dua tiga minggu ini. Kita sudah berada di Ayer Keroh sejak 2008 dan itu adalah sesuatu yang kita mahu rakyat nilai.
"Kerja-kerja yang telah dilakukan serta rekod pencapaian, sebenarnya tertakluk kepada kritikan daripada lawan dan kalau kita telah laksanakan dengan penuh tanggungjawab, kita perlu mempertahankannya," katanya.
Antara pencapaian diketengahkan ialah pelaksanaan 28 projek menangani banjir kilat sepanjang lapan tahun lalu, termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Putat yang dijangka siap menjelang penghujung 2027.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka mampu menyelesaikan sehingga 80 peratus masalah banjir kilat menerusi peningkatan kapasiti sistem sungai, berbanding 15 lokasi panas banjir yang dikenal pasti pada 2015.
Selain infrastruktur, beliau turut memperkenalkan enam Taman MADANI sebagai ruang interaksi komuniti, khususnya dalam kalangan penduduk di kawasan perumahan bandar.
Sekiranya diberi mandat penggal ketiga, Kerk mahu meneruskan usaha menangani banjir, menambah baik pengurusan trafik dan memperluas peluang pekerjaan supaya anak muda Melaka tidak perlu berhijrah ke Kuala Lumpur atau Singapura.
Kerk yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka mula memenangi kerusi Ayer Keroh pada 2018 sebelum mempertahankannya pada PRN 2021.
Pada PRN kali ini, beliau berdepan pertandingan empat penjuru menentang Muhammad Muhaimin Lau Abdullah atau Alan Lau daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Michael Gan Peng Lam daripada Perikatan Nasional (PN) dan Mohd Hamnaim Mohamad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini sehingga 22 September lalu, DUN Ayer Keroh mempunyai seramai 38,252 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRN Melaka ke-16