KOTA BHARU: Adik kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menjadi punca ketiadaan nama Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) Kelantan.

Nik Din Nik Mat turut mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menghantar surat meminta Pas menyenaraikan nama Nik Mohammad Abduh.

Beliau juga hairan apabila nama anak saudaranya itu tidak dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

“Apabila DUN Chempaka kosong, saya tengok nama dia (Nik Abduh) tidak ada.

"Saya sendiri bertemu dengan Presiden Pas itu yang turut memberi jaminan bahawa Nik Abduh akan dicalonkan kerana parti memerlukan seorang yang cerdik, kerja bagus dan rajin bersuara di Parlimen," katanya.

Pendedahan Nik Din dikongsikan melalui satu rakaman video berdurasi dua minit 33 saat yang tular sejak petang Sabtu.

Nik Din juga mendakwa, tindakan itu dibuat kerana calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor itu tidak mahu ahli keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz bertapak di Pengkalan Chepa.

Media sebelum ini melaporkan, Nik Mohd Abduh tidak tercalon pada PRN di Kelantan.

Nama beliau sudah disebut-sebut bakal bertanding di satu kerusi dalam Parlimen Pengkalan Chepa. -- Sinar Harian