Skip to main content

Politik

PRN N. Sembilan: PH sasar menang lebih 20 kerusi DUN - Loke

KUALA LUMPUR, 7 Jun -- Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berucap pada Majlis Tayangan Perdana Dokumentari 60 Tahun Perjalanan DAP di Wilayah Persekutuan di Sekolah Menengah Confucian (Persendirian) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Loke berkata komponen parti berkenaan komited memainkan peranan bagi membantu rakan-rakan dalam PH mempertahankan kerajaan negeri serta memperoleh mandat yang kukuh daripada rakyat. - Gambar fail/Bernama

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyasar memenangi lebih 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke berkata sasaran itu berdasarkan pencapaian PH negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang memenangi 20 kerusi DUN dan membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata komponen parti berkenaan komited memainkan peranan bagi membantu rakan-rakan dalam PH mempertahankan kerajaan negeri serta memperoleh mandat yang kukuh daripada rakyat.

"Mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan hari ini membincangkan persiapan menghadapi PRN Negeri Sembilan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada Jumaat lepas.

"Kita bersedia menghadapi pilihan raya dan sasaran PH Negeri Sembilan adalah untuk memenangi sekurang-kurangnya lebih 20 kerusi DUN pada PRN kali ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata beliau akan mempertahankan kerusi DUN Chennah pada PRN kali ini.

Beliau turut mengesahkan semua penyandang DUN daripada DAP bersedia mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi parti itu pada PRN ke-15.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

PRN Negeri Sembilan pada 2023 menyaksikan PH dan BN membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN.

PH memenangi 17 kerusi manakala BN memperoleh 14 kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.

Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN selepas Johor berbuat demikian pada 1 Jun.

--BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement