DUNGUN: Tapak Kubu Mat Kilau di Padang Jerangau, Kampung Pasir Raja dekat sini dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi diwartakan sebagai tapak warisan dan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan sejarah pada masa hadapan.
Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur Nor Fairus Nizam berkata tapak bersejarah itu telah disenaraikan dalam inventori jabatan berkenaan untuk proses penilaian dan kajian menyeluruh sebelum dipertimbangkan untuk diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
"Proses pewartaan juga perlu mendapatkan keizinan daripada pihak berkuasa negeri serta mengambil kira pelbagai aspek teknikal dan dokumentasi termasuk semakan status hak milik tanah dan perkara berkaitan," katanya kepada Bernama ketika meninjau tapak kubu itu hari ini.
Turut hadir Pembantu Muzium Kanan Muzium Negeri Terengganu Saifol Nahrain Hashim, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah dan Wakil Pertubuhan Insaf Malaysia Terengganu Othman Omar.
Pada masa sama, Nor Fairus berkata pihaknya akan mencadangkan pembinaan semula struktur kubu berkenaan termasuk kemudahan asas seperti tempat letak kereta, tandas awam dan surau untuk menarik lebih ramai pelancong.
Beliau berkata kubu asal yang dibina daripada timbunan tanah berkeluasan 14.6 meter lebar dan 17.2 meter panjang itu terletak di sempadan negeri Pahang.
"Dari sudut sejarah, tapak kubu itu mempunyai fakta kukuh sebagai lokasi persembunyian Mat Kilau dan tempat berkumpul pejuang Melayu sekali gus mempunyai nilai warisan yang tinggi.
"Kita melihat tapak ini mempunyai potensi besar untuk dijadikan sebagai satu daripada destinasi pelancongan sejarah, bukan sahaja bagi pelawat tempatan malah pelancong luar negara yang berminat dengan sejarah perjuangan tanah air," katanya.
Nor Fairus juga berkata pembinaan Jalan Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun ke sempadan Terengganu, yang dijangka siap tidak lama lagi, akan memudahkan akses pelancong ke tapak Kubu Mat Kilau pada masa hadapan.
Pada 18 Julai lepas, Bernama melaporkan Kubu Mat Kilau kini dalam keadaan terbiar dan usaha pemuliharaan segera perlu dilaksanakan bagi memastikan warisan sejarah pahlawan Melayu itu terus terpelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Pasir Raja Adnan Apil, 72, pula berkata penduduk bimbang kubu itu akan terus lenyap sekiranya tiada tindakan diambil untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.
Mat Kilau, atau nama sebenarnya Muhammad Khatib Rasu Abd, adalah tokoh sejarah dan pahlawan Pahang yang menentang penjajah British.
Meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 pada usia 104 tahun, beliau disifatkan sebagai individu berpengetahuan luas dalam agama dan pernah belajar daripada tokoh serta ulama tersohor.
Antaranya Mufti Pahang pertama Uthman Senik, ulama Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu semasa beliau bersembunyi di negeri itu.
-- BERNAMA