Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Ahmad Zahid sinis cadangan Hamzah sebagai calon PM, ucap ‘selamat berjaya’

Zahid Hamidi, RISDA_Astro AWANI
Ahmad Zahid bercakap dalam satu sidang media selepas menghadiri Program Konvensyen Pekebun RISDA Zon Tengah Tahun 2026, di sini, pada Selasa. - Foto Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan ulasan sinis kepada kenyataan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mencadangkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Menurut Presiden Barisan Nasional itu, parti Wawasan kini sedang dalam fasa untuk muncul sebagai entiti baharu memasuki arena politik negara.

“Saya rasa itu satu cita-cita yang baik dan saya rasa itu mungkin satu usaha yang sangat disanjung oleh semua parti politik di negara kita.

“Mudah-mudahan kita ucapkan selamat berjaya kepada cita-cita besar Datuk Seri Saifuddin Abdullah itu sebagai Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara yang sedang muncul sebagai parti ‘new kid on the block’,” ujar Zahid berseloroh.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Program Konvensyen Pekebun RISDA Zon Tengah Tahun 2026, di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, Saifuddin dalam satu program audio siar menawarkan Hamzah sebagai wajah baharu kepada rakyat untuk memimpin negara menerusi Konsensus Nasional.

Menurutnya, rakyat tidak mahukan lagi wajah yang lama untuk mengemudi negara agar peluang dapat diberikan kepada mereka yang lebih berkelayakan.

Sebagai rekod, Wawasan yang merupakan parti komponen rasmi Perikatan Nasional (PN) kini menjalinkan persefahaman dengan Barisan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

BN bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memasuki baki 11 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 DUN di Negeri Sembilan.

Daripada 11 kerusi ditandingi PN itu, parti Wawasan meletakkan calon di empat kerusi iaitu DUN Klawang, Sikamat, Mambau dan Gemas.

PRNk ali ini menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi DUN dengan hari mengundi bagi 889,490 juta pemilih ditetapkan Sabtu ini.

Must Watch Video

Advertisement