KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berharap Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu dapat meneruskan dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat serta menambah baik kelemahan sedia ada.
Beliau berkata, perkara paling utama ialah memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara dan pembangunan negeri dapat diteruskan.
“Teruskan, buat yang terbaik. Saya yakin boleh buat yang terbaik. Jaga negeri, jaga anak bangsa, pastikan lebih baik daripada apa yang saya berikan.
"Teruskan apa yang elok, boleh perbaiki apa yang lemah,” katanya ketika sidang media Pakatan Harapan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu.
Aminuddin berkata, beliau menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka dan menganggap menang atau kalah sebagai lumrah dalam politik.
Menurutnya, sepanjang lapan tahun menerajui pentadbiran negeri, beliau telah berusaha memberikan yang terbaik walaupun mengakui masih terdapat kelemahan.
“Saya ucap syukur, Alhamdulillah kerana diberi peluang selama lapan tahun berada di kerusi ini.
“Saya cuba buat yang terbaik, mungkin ada kelemahan dan saya akui tidak semuanya betul,” katanya.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab menerusi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PH.
Katanya, wakil rakyat PH akan terus menyantuni rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik walaupun tidak lagi mentadbir negeri.
“Kita akan pastikan 11 kerusi itu diuruskan dengan baik. Kita juga mahu terus menyantuni rakyat dan sentiasa memberikan apa yang mampu kita berikan,” katanya lagi.