Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Anwar rayu pengundi kekalkan PH tadbir negeri, seru tolak politik perkauman

PH Anwar Ibrahim
Anwar berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini telah melaksanakan tugas dengan baik dan wajar diberi peluang. - Astro AWANI
Advertisement

NILAI: Pengundi dirayu supaya terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 untuk mentadbir kerajaan negeri bagi memastikan pentadbiran dan pembangunan dapat diteruskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini telah melaksanakan tugas dengan baik dan wajar diberi peluang untuk meneruskan agenda pembangunan.

“Saya datang ni sebenarnya nak merayu supaya kerajaan berjalan baik, supaya Negeri Sembilan jadi kuat.

“Amin (Aminuddin) ni, saya fikir nak kata dia sempurna, dia ada juga kelemahan dia seperti saya. Tetapi bersih, rajin kerja. Subuh pergi jemaah, baguslah. Negeri Sembilan membangun.

“Bagilah dia sambung kerana dia jalankan kerja dengan baik. Ini saja saya rayu kepada saudara-saudara kerana kuat Amin ni, kuatlah PMX, kuat Negeri Sembilan, kuat Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada ceramah Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan DUN Labu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi PH turut menggesa rakyat menolak politik berasaskan sentimen perkauman dan sebaliknya memupuk sikap saling menghormati serta menyayangi antara satu sama lain.

Beliau berkata, konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan kerajaan berteraskan nilai hormat, ihsan dan kasih sayang tanpa mengira kaum atau agama.

“Tak bolehkah kita jadi baik, hormat, muliakan orang, kasih sayang. Ini yang Madani.

“Madani ini maknanya ada hormat, ada rahmah, ada ihsan kerana kita manusia. Kita nak Malaysia ini memang hebat,” katanya.

Menurut Anwar, rakyat perlu bersatu sebagai satu pasukan bagi membolehkan negara terus maju, tanpa dibelenggu perbalahan yang berasaskan kaum.

Must Watch Video

Advertisement