Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Bersatu bincang gabungan parti, terima keputusan pilihan raya

BERSATU_AWANI
Mohamed Azmin berkata, Bersatu menerima keputusan pengundi Negeri Sembilan yang memberikan sokongan kepada calon parti itu di 24 kawasan yang ditandingi - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membincangkan pembentukan gabungan parti-parti politik yang sederhana dan progresif bagi menyegarkan demokrasi negara demi masa depan yang lebih cemerlang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan PRN Negeri Sembilan perlu diteliti secara terperinci termasuk menerusi proses bedah siasat bagi mengenal pasti langkah strategik untuk memperkukuhkan perjuangan parti itu dalam membawa agenda rakyat Malaysia.

"Keputusan di Negeri Sembilan menuntut Bersatu untuk mengambil tindakan yang berani bagi meningkatkan disiplin dalaman, bekerja dengan kuat dan membawa agenda perubahan yang dapat memberi manfaat terbaik untuk rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Keputusan tidak rasmi setakat jam 10 malam menyaksikan Bersatu, yang memilih untuk bertanding secara solo menggunakan logo parti itu, tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Bersatu menerima keputusan pengundi Negeri Sembilan yang memberikan sokongan kepada calon parti itu di 24 kawasan yang ditandingi.

Beliau berkata, PRN ini merupakan penampilan kali pertama parti itu menyertai pilihan raya menggunakan simbol sendiri tanpa bergantung atau menumpang pihak lain.

Dalam masa sama, Bersatu mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang diberikan mandat baharu untuk membentuk Kerajaan Negeri Sembilan pada PRN Negeri Sembilan ke-16.

"Bersatu juga mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang telah bekerja keras membantu calon-calon dalam semangat setiakawan dan kepada perjuangan Bersatu," katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement