MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding menentang calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) sebagai bertanding melawan parti sendiri.
Menurut Abdul Hadi, tindakan tersebut jelas menunjukkan Bersatu bertanding menentang PN, meskipun parti itu merupakan salah satu komponen dalam gabungan berkenaan.
“Dari segi mahfumnya dia bertanding lawan parti dia sendiri di Negeri Sembilan itu kan dia bertanding lawan Perikatan Nasional (PN) tanding lawan parti sendiri orang boleh faham sendiri.
“Apa yang Ahmad Samsuri sebut itu, dari segi (apa yang tertulis) dalam Perlembagaan saya sebut dari mahfumnya begitu, dia lawan parti dia sendiri apa maknanya?,” katanya kepada media selepas kuliah duha di Masjid Rusila, pada Jumaat.
Pas tidak tolak kerjasama PN-BN demi perpaduan ummah
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Marang itu tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), termasuk melalui PN, dalam usaha ke arah perpaduan ummah.
Abdul Hadi berkata usaha berkenaan masih diteruskan, namun tidak mengulas lanjut mengenai bentuk kerjasama yang mungkin diwujudkan.
“Kita kerjasama ke arah perpaduan ummah,”
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi turut menafikan mempunyai maklumat mengenai dakwaan terdapat ahli Pas yang menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
“Kita tak ada maklumat … tak ada maklumat,” tambah beliau.
Pada 12 Ogos lalu, pengasas bersama Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRN16 menyaksikan sebahagian ahli parti diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyertai Bersama.
Beliau yang juga pengasas bersama Bersama berkata, keadaan itu menyumbang kepada peningkatan mendadak keahlian parti berkenaan yang didakwanya kini mencecah kira-kira 29,200 ahli selepas hampir tiga bulan dilancarkan.
Menurut Rafizi, kira-kira 25 peratus daripada jumlah itu merupakan bekas anggota PKR, manakala sekitar 15 peratus lagi adalah bekas anggota parti politik lain termasuk UMNO, Pas dan Bersatu.