Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: BN tidak ‘terliur’ lihat hasil negeri, turut sumbang usaha pacu ekonomi - Jalaluddin

41691937303_JalaluddinAlias.jpg
Jalaluddin berkata, pertambahan hasil negeri bukan semata-mata atas usaha Pakatan Harapan (PH), ia turut disumbangkan BN yang menjadi rakan dalam kerajaan negeri. - Gambar fail
Advertisement

SEREMBAN: Datuk Seri Jalaluddin Alias menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) mahu mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan kerana ‘terliur’ dengan peningkatan hasil negeri sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2023.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, pertambahan hasil negeri bukan semata-mata atas usaha Pakatan Harapan (PH), ia turut disumbangkan BN yang menjadi rakan dalam kerajaan negeri sepanjang tempoh tersebut.

“Barisan Nasional mempunyai 14 kerusi dan merupakan pemegang saham terbesar. Disebabkan kita menjaga kestabilan dan urus tadbir kerajaan dalam keadaan yang tidak huru-hara, maka kita dapat menarik pelabur.

“Peranan yang saya mainkan juga tidak kecil dalam menarik pelabur dan menambah hasil negeri,” kata Jalaluddin yang merupakan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan segelintir pihak kononnya BN mahu merampas pentadbiran Negeri Sembilan kerana tertarik dengan peningkatan hasil negeri.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata BN mempunyai pengalaman panjang mentadbir kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Justeru, dakwaan peningkatan hasil menjadi faktor utama BN mahu mengambil alih pentadbiran negeri adalah tidak berasas.

“Kalau ada pihak kata kita terliur memandang hasil negeri yang banyak, Barisan Nasional dah berpengalaman menguruskan negara dan negeri.

“Kita tak pernah menjadikan hasil negeri sebagai salah satu faktor untuk kita ambil alih kerajaan. Jauh sangat tuduhan itu,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement