KUALA LUMPUR: Isu laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) berpotensi membentuk persepsi baharu dalam kalangan pengundi Melayu-Islam, khususnya pendeposit institusi itu, pada penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Dapatan Kajian Persepsi Pengundi Negeri Sembilan Menjelang Pilihan Raya DUN ke-16 oleh IDE Research Centre (IDERC) mendapati pengumuman bahawa kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkenaan memperkenalkan satu lagi isu besar pada saat akhir kempen, dengan kesannya berpotensi lebih ketara terhadap pengundi yang masih belum membuat keputusan.
Menurut kajian itu, isu berkenaan mempunyai nilai sensitif dalam kalangan masyarakat Islam kerana TH bukan sahaja berkaitan aspek kewangan, malah mempunyai nilai keagamaan dan emosi yang tinggi.
"Pada masa yang sama, isu tersebut perlu dinilai berdasarkan kandungan penuh laporan dan tidak digunakan untuk menghukum mana-mana pihak sebelum proses undang-undang selesai.
"Oleh sebab isu ini muncul pada saat-saat akhir kempen, kesannya mungkin lebih besar terhadap pengundi yang masih belum membuat keputusan," menurut dapatan kajian itu yang dikeluarkan pada Jumaat.
Pada Rabu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 setebal 211 halaman, yang antara lain mengandungi syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH.
Dalam pada itu, dapatan survei IDERC menunjukkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mempunyai tiga aset persepsi kepimpinan utama, iaitu dilihat sebagai pemimpin mesra rakyat, mempunyai rekod pentadbiran yang baik serta bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
Ketiga-tiga ciri berkenaan masing-masing mencatatkan penilaian positif melebihi 40 peratus dan menjadi antara kekuatan peribadi Aminuddin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dalam menghadapi PRN kali ini.
Kajian itu mendapati kelebihan berkenaan memperlihatkan penerimaan peribadi terhadap Aminuddin yang melangkaui penilaian terhadap parti, dengan beliau dilihat sebagai pemimpin yang mempunyai rekod baik, bekerja bersungguh-sungguh dan membela rakyat.
Bagaimanapun, kelebihan dari segi persepsi itu hanya akan memberikan impak elektoral sekiranya dapat diterjemahkan kepada keyakinan pengundi dan kehadiran mereka di pusat mengundi.
Menurut kajian itu, kempen perlu menghubungkan imej "mesra rakyat" dengan bukti penyelesaian masalah setempat, manakala rekod pentadbiran dan integriti perlu diterangkan menerusi pencapaian yang mudah difahami.
Dalam persaingan sengit, faktor kepimpinan Aminuddin berpotensi menjadi elemen pembeza terutama bagi pengundi sederhana, pengundi atas pagar dan mereka yang lebih menilai calon serta prestasi berbanding kesetiaan kepada parti.
Sementara itu, pertarungan pada PRN Negeri Sembilan masih terbuka dengan tinjauan mendapati sekitar 12 hingga 18 peratus pengundi masih belum membuat keputusan atau berada di atas pagar.
Kajian itu bagaimanapun mengingatkan bahawa peratusan sokongan popular di peringkat negeri tidak boleh diterjemahkan secara langsung kepada jumlah kerusi kerana keputusan ditentukan secara berasingan di setiap kawasan DUN.
Taburan pengundi mengikut kaum, kadar keluar mengundi, kekuatan calon, isu setempat dan keupayaan jentera parti berpotensi menghasilkan keputusan kerusi yang berbeza daripada pola sokongan keseluruhan di peringkat negeri.
Saingan PH-BN masih sengit
Analisis kerusi pula menunjukkan persaingan antara blok utama, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), masih sengit terutama di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi campuran dan margin sokongan yang kecil.
Pada masa sama, kerjasama tidak rasmi antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat menerusi keadaan kedua-dua blok tidak bertembung di sesetengah kerusi turut menimbulkan polemik dalam kalangan pengundi.
Kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang sebelum ini berada dalam blok PN, dalam pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan pula berpotensi memecahkan undi BN dan PN, susulan kemungkinan wujud ketidakselesaan dalam kalangan sebahagian penyokong UMNO dan Pas.
Kajian Persepsi Pengundi Negeri Sembilan Menjelang Pilihan Raya DUN ke-16 itu melibatkan 1,225 pengundi di kesemua 36 kawasan DUN.
Kajian lapangan secara bersemuka dilaksanakan pada 16 hingga 19 Julai lepas, manakala pemantauan susulan dijalankan sehingga 30 Julai 2026.