Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Jangan mainkan isu institusi diraja, Perlembagaan Persekutuan - PM Anwar

KUALA PILAH, 14 Julai -- Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang malam ini.
Anwar ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang malam ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA PILAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 supaya tidak memainkan isu berkaitan institusi diraja dan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata walaupun persaingan politik dibenarkan dalam amalan demokrasi, ia perlu berlangsung secara berhemah tanpa menyebarkan fitnah atau mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"Kita boleh bertempur dalam politik, tetapi kita tidak boleh memfitnah. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai merosakkan institusi yang menjadi asas negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar berkata rakyat Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan yang bersih, berintegriti dan berupaya membawa negeri itu ke arah pembangunan yang lebih baik.

Beliau turut menyeru seluruh jentera PH bekerja bersungguh-sungguh demi masa depan generasi akan datang serta membawa perubahan terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan.

"Saya yakin Negeri Sembilan boleh dipimpin dengan baik dan terus bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan. Negeri Sembilan tidak harus ketinggalan," katanya.

Anwar berkata beliau juga yakin dengan kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang disifatkannya sebagai pemimpin yang mudah bekerjasama demi kepentingan rakyat negeri.

Pada majlis itu Anwar mengumumkan 36 calon yang menampilkan gabungan muka baharu dan pemimpin pengalaman daripada parti komponen PH iaitu PKR, DAP dan Amanah termasuk Aminuddin yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi serta Loke yang mempertahankan kerusi DUN Chennah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement