Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: 'Kalau orang dah tak suka, buat apa nak tunggu?' - Khaled Nordin

[TB]_BN, PRN, Khaled Nordin_ASTRO AWANI
Semua pihak perlu memastikan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tertumpu kepada isu dan hala tuju negeri, bukannya menjadi medan serangan politik. - Astro AWANI
Advertisement

JOHOL: Sebarang keputusan berkaitan pelantikan atau peletakan jawatan menteri adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri.

Itu tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Naib Presiden UMNO ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menegaskan beliau tidak keberatan untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Luar sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh Perdana Menteri.

“Seperti yang saya kata, itu soal pelantikan Menteri. Semua budi bicara (Perdana Menteri).

“Kalau orang dah tak suka, buat apa nak tunggu,” kata beliau ketika ditemui media selepas Majlis Pengenalan Calon & Pelancaran Jentera Barisan Nasional N.19 Johol, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata semua pihak perlu memastikan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tertumpu kepada isu dan hala tuju negeri, bukannya menjadi medan serangan politik.

Tambah beliau, kempen juga perlu dilaksanakan secara berhemah supaya rakyat dapat membuat pertimbangan yang tepat dalam menentukan masa depan negeri.

“Saya percaya bahawa sebenarnya tak perlu kerana ini adalah pilihan raya peringkat negeri dan sewajarnya perkara-perkara yang ada kaitan, terutamanya negeri dan hala tuju negeri.

“Maka, memang tak sewajarnya ia menjadi platform untuk berlakunya serang-menyerang.

“Seperti yang ditekankan oleh Presiden, Pengerusi Barisan Nasional, Presiden UMNO, kempen Barisan Nasional perlu secara berhemah dan memang penting kerana sebenarnya kita nak minta supaya rakyat memberi pertimbangan yang betul, yang baik, yang tepat.

“Ini kerana ia merupakan satu pendirian dan keputusan yang dibuat oleh rakyat yang akan mempengaruhi masa hadapan kehidupan mereka. Jadi tak perlu menggunakan pendekatan-pendekatan yang boleh menyakitkan hati ataupun yang memburuk-burukkan antara satu dengan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mencabar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Akmal Saleh, membuktikan prinsip politiknya dengan meminta menteri dan timbalan menteri daripada parti itu meletakkan jawatan susulan kerjasama terbuka dengan Perikatan Nasional (PN).

“Kita tahu bahawa soal pelantikan-pelantikan Menteri itu adalah budi bicara Perdana Menteri.

“Tak payahlah dia nak suruh mana-mana Menteri untuk lakukan letak jawatan dan sebagainya, dia cakap sajalah dengan Ketua Parti dia,” kata Khaled.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan untuk menyerang rakan Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara itu akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.

Must Watch Video

Advertisement