Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Kerajaan Negeri, Persekutuan kekal sehaluan kunci kestabilan - PM Anwar

SEREMBAN, 22 Julai -- Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Program Santai Petang Warga Ampangan di Medan Selera Ampangan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri sesi santai petang bersama penduduk di Ampangan, Seremban sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. - Foto Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Negeri Sembilan agar terus mengekalkan kestabilan politik bagi memastikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat bergerak sehaluan dalam melaksanakan agenda pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat.

Beliau berkata, kerjasama yang kukuh antara kedua-dua pentadbiran penting bagi memastikan segala perancangan dan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa gangguan.

“Cuma nak mohon kerjasama kawan-kawan semua supaya biarlah politik kita stabil. Persekutuan dan Negeri, satu hala, satu tujuan. Elak daripada apa-apa penyelewengan, jaga kepentingan rakyat. Itu yang kita cuba sedaya upaya lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi santai petang bersama penduduk di Ampangan, di sini, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Anwar berkata, kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat, namun mengakui masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki.

Justeru, beliau berkata, kerajaan bersedia menerima teguran yang membina demi memastikan pentadbiran terus diperkasakan.

“Nak kata semua betul pun tak juga. Kalau ada yang perlu diperbaiki, kita tegur. 

"Saya minta kawan-kawan bagi kerjasama nanti pilihan raya, buat pilihan yang baik dan bawa mesej Harapan supaya kita dapat terus bersama Kerajaan Persekutuan. Kita buat yang sebaiknya untuk rakyat kita,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai manakala hari mengundi 1 Ogos ini.

Must Watch Video

Advertisement