Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Pengundi perlu pilih pemimpin antirasuah, tidak lindungi pesalah - Fahmi

Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika hadir pada Majlis Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Tapak Pasar Malam Desa Cempaka. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi menyantuni pengundi ketika hadir pada Majlis Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Tapak Pasar Malam Desa Cempaka, Nilai. - Gambar Bernama
Advertisement

NILAI: Pengundi di Negeri Sembilan perlu memilih pemimpin antirasuah, tidak mengutamakan kekayaan selain tidak melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ini kerana kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah menunjukkan teladan dan prestasi baik termasuk menerusi peningkatan hasil pelaburan selain kutipan zakat serta Baitulmal.

“Kalau kita lihat cara, gaya kepimpinan Tok Min (Aminuddin) dan kalau kita dengar dalam media sosial bagaimana rakyat biasa mengatakan mereka memberikan 9/10, 9.5/10 dan sebagainya kepada Tok Min dan pentadbiran PH, saya rasa kita tidak ada apa-apa alasan selain mengembalikan Tok Min dan PH untuk meneraju dan mentadbir Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, kepimpinan Aminuddin telah membawa institusi seperti Yayasan Negeri Sembilan ke tahap yang lebih baik dengan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua rakyat di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan dan Menteri Komunikasi berkata, keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji merupakan keputusan besar selepas mengambil kira kepentingan pendeposit serta kedudukan institusi berkenaan.

Beliau berkata, PH akan memastikan semua institusi yang dekat di hati rakyat akan terus terpelihara dan sesiapa sahaja yang didapati terlibat melakukan sebarang pelanggaran undang-undang yang membawa kerugian besar kepada institusi Melayu serta Islam akan dibawa ke muka pengadilan.

“Kita akan pastikan institusi seperti Tabung Haji ini terus diurus dengan baik... di Negeri Sembilan, kita lihat Yayasan Negeri Sembilan telah diurus dengan baik… anak-anak mula dapat merasakan kebaikan ini, mereka dapat komputer riba dan macam-macam lagi,” katanya.

Pada Sabtu ini, sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement