SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal optimis gabungan itu mampu melepasi sasaran 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada jentera parti di semua kawasan sehingga saat akhir kempen, selain melihat potensi positif di peringkat akar umbi.
Menurutnya, walaupun pelbagai dapatan dan analisis mengenai keputusan pilihan raya dilaporkan sebelum ini, ia tidak menjejaskan semangat jentera PH yang terus bekerja sehingga tamat kempen.
“Kami masih yakin bahawa kami akan melepasi 19 kerusi ya. Seperti yang saya katakan bahawa kami Insya-Allah akan melepasi 19 kerusi dan saya yakin sehingga saat akhir malam tadi.
“Saya semak di semua kawasan yang kita bertanding mempunyai potensi yang baik dan Insya-Allah saya rasa jentera tak rasa down walaupun macam-macam spekulasi. Itu biasalah.
“Analisis yang kita rasa dia hanya di atas meja, dia tidak turun ke bawah. Jadi saya rasa saya masih yakin lagi melepasi 19 kerusi tersebut, Insya-Allah,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM) bagi DUN Sikamat.
Sebelum itu beliau yang juga calon PH DUN Linggi tiba di IPGKRM pada jam 8.33 pagi diiringi calon PH DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad.
Aminuddin merupakan penyandang kerusi DUN Sikamat selama empat penggal bermula tahun 2008.
Pada 2008, beliau berjaya memenangi DUN Sikamat dalam saingan dua penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Md Yusop Harmain Shah apabila memperoleh 6,036 undi seterusnya mencatat majoriti tipis dengan 499 undi.
Manakala pada PRN2023, beliau berjaya mempertahankan DUN Sikamat apabila memperoleh 12,730 undi menewaskan tiga saingan lain termasuk Ahmad Raihan Muhammad Hilal dari Perikatan Nasional (PN) dan dua calon bebas dengan 2,662 majoriti.
PRN kali ini menyaksikan Aminuddin bertanding di Dun Linggi yang merupakan kubu kuat BN dan berdepan saingan tiga penjuru termasuk penyandang dan calon BN, Datuk Mohd Faizal Ramli dan Datuk Zamri Md Said dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).