SEREMBAN: Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berhubung ucapannya ketika berkempen di Seremban Jaya yang didakwa mengandungi unsur hasutan.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata siasatan itu dibuat susulan laporan oleh seorang lelaki berusia 55 tahun yang tidak berpuas hati dengan hantaran video menerusi media sosial yang memaparkan ucapan ahli politik itu ketika berkempen.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Media semalam, melaporkan DAP membuat laporan polis terhadap Shamsulkahar susulan dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan karikatur menghina Sultan Selangor ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
-- BERNAMA