REMBAU: Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan beliau tidak keberatan untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Luar sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan, beliau melihat kempen BN pada PRN Negeri Sembilan hanya bertujuan menyampaikan mesej kepada pengundi dan tidak mengandungi unsur atau motif memburukkan Kerajaan Perpaduan.
“Tak tahulah saya sebab kita tak ada memburuk-burukkan apa, tetapi kita dalam kempen kita nak pastikan supaya mesej kita sampai kepada semua pengundi-pengundi.
“Tapi jika ada arahan Perdana Menteri untuk saya meletak jawatan, saya tak ada keberatan untuk meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kelab Tuanku, di sini petang Ahad.
Beliau terdahulu mengulas kenyataan Anwar yang mengingatkan mana-mana anggota pentadbiran yang terus memburukkan Kerajaan Perpaduan supaya melepaskan jawatan.
Mengulas lanjut, Mohamad menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan sepanjang tempoh kempen sebagai lumrah dalam politik dan tidak sepatutnya dianggap sebagai permusuhan peribadi antara parti-parti yang bertanding.
“Statement politik biasalah, saya pun tak kecil hati. Dalam pilihan raya ini, kempen biasalah…. tak bermakna kita nak bermusuh secara peribadi.
“Kita nak rakyat faham dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional, kita pujuk mereka dan pastikan jangan termakan fitnah-fitnah lagi,” katanya.
Beliau turut mendakwa kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum terdahulu berpunca daripada penyebaran fitnah yang melampau, justeru mengingatkan pengundi supaya lebih berhati-hati dengan kandungan yang disebarkan menerusi media sosial.
Katanya, pelbagai kandungan termasuk mesej WhatsApp, karikatur dan hantaran daripada akaun palsu dijangka digunakan bagi mempengaruhi persepsi pengundi sepanjang tempoh berkempen.
“Semuanya kita tahu itu semua palsu dan kalau kita tengok berapa (sahaja) pengikut dia, kadang-kadang tak ada pun.
“Itu semua akaun palsu yang direka untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia ni, jadi rakyat Malaysia saya rasa setakat hari ini mereka dah faham sangatlah politik Malaysia ni,”tambahnya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan menteri dan timbalan menteri daripada BN susulan gesaan Angkatan Muda Harapan (AMH) supaya mereka melepaskan jawatan selepas kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, soal pelantikan atau penamatan jawatan anggota pentadbiran adalah hak mutlak Perdana Menteri.
“Terpulanglah kepada Perdana Menteri kerana beliau yang melantik menteri dan timbalan menteri,” katanya ringkas ketika diminta mengulas gesaan berkenaan.