PETALING JAYA : Pakatan Harapan (PH) di Selangor dijangka kekal menggunakan logo gabungannya pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Elizabeth Wong berkata, setakat ini tiada isu PH Selangor akan menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini tiada isu penggunaan logo itu mungkin melibatkan PRN di negeri lain tapi bukan Selangor.

“Pada pandangan peribadi saya, kalau Barisan Nasional (BN) nak guna logo PH tiada masalah, Selangor ini terbuka,” katanya selepas menghadiri Majlis Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Lanjan pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kerjasama penggunaan logo melibatkan PH dan BN pada PRN akan datang.

Ini selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan masih belum memuktamadkan penggunaan logo dacing dalam kalangan parti sekutu gabungan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut mengenai keyakinan Perikatan Nasional (PN) untuk menawan negeri itu pada PRN kali ini, Elizabeth berkata, PH sudah memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat Selangor sepanjang tiga penggal pentadbirannya.

“Saya yakin PH akan mengekalkan momentum pilihan pengundi di Selangor ditambah hasil pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin pengundi Selangor bijak dan cerdik dan selama ini sokongan terhadap PH sangat bagus,” kata ADUN Bukit Lanjan itu.

Terdahulu di dalam ucapannya Elizabeth turut mengumumkan peruntukan RM250,000 telah dibelanjakan di bawah Projek Selangor Penyayang untuk membaik pulih dan menaik taraf masjid, surau di DUN Bukit Lanjan. - Sinar Harian