BUTTERWORTH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees mengumumkan keluar DAP seterusnya bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 12 Ogos ini.

Katanya, keputusan bertanding di DUN Bagan Dalam itu dibuat selepas namanya digugurkan sebagai calon.

Beliau berkata, ia adalah isyarat jelas kepada pemimpin parti yang dirujuk sebagai ‘Maharaja’ di dalam DAP yang didakwa cuba merosakkan pentadbiran kerajaan negeri.

Satess yang sudah bersama DAP sejak 2008 berkata, telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai ahli parti itu kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fok pagi tadi.

Tindakan keluar parti itu menyusul selepas bekas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel mengambil tindakan sama dan bertanding sebagai calon  Bebas yang menyokong kepimpinan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

"Saya membuat keputusan keluar parti ini sebab saya mahu letak jawatan sebelum saya dibuang. Satu saja saya nak nyatakan... ada pihak kata saya keluar daripada parti sebab saya kecewa tak dapat pencalonan, itu bukan sebabnya.

"Sudah tiba masanya, saya tidak lagi berada dalam parti, dan saya fikir sudah tiba masanya saya melawan 'individu' itu dari luar parti. Kalau saya masih berada di dalam parti, tangan saya 'terikat'.

"Ini tidak bermakna saya bencikan parti, tidak, saya sertai parti ini, parti yang demokratik ini, jadi saya percaya parti ini akan kembali ke matlamat asal semula apabila kita berjaya 'membuang' maharaja' tersebut.

"Apa yang penting di sini adalah saya mahu sampaikan pada rakyat dan pengundi di Pulau Pinang, negeri ini bukan 'individu' itu yang punya, tetapi (kepunyaan) rakyat Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Adun DAP Bagan Dalam di Butterworth pada Jumaat

Dalam pengumuman calon DAP bagi PRN Pulau Pinang sebelum ini, Loke mengumumkan 19 calon.

Bagaimanapun tujuh penyandang termasuk lima Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang digugurkan, yang disifatkan sebagai satu proses pembaharuan bagi memastikan parti itu kekal dinamik dan relevan dalam politik.

Antara tujuh penyandang digugurkan ialah Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy di kerusi DUN Perai, Phee Boon Poh (Sungai Puyu), Soon Lip Chee (Bagan Jermal), Chong Eng (Pangkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong) dan Lee Chun Kit (Pulau Tikus).