SEREMBAN: Datuk Mohamad Rafie Ab Malek membidas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menegaskan keahliannya tergugur secara automatik apabila bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan itu mendakwa, kenyataan Datuk Seri Aminuddin Harun itu tidak benar dan tidak merujuk kepada Perlembagaan parti.

Mohamad Rafie menegaskan, beliau tidak melanggar sebarang klausa dalam Perlembagaan parti yang membolehkan keahliannya tergugur.

"Secara jelas, tiada satu pun daripada mana-mana klausa dalam Perlembagaan PKR membenarkan kenyataan Aminuddin Harun ini.

"Permasalahan PKR adalah mempunyai pemimpin seperti Aminuddin Harun yang lemah ilmu membaca dan berlagak hebat.

"Ia akhirnya memporak-perandakan parti kerana dalam konteks ini, Perlembagaan parti perlu menjadi asas di dalam sebarang keputusan dibuat," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan Aminuddin berkata, tindakan Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban itu bertanding atas tiket Bebas di DUN Ampangan mengakibatkan keahliannya tergugur secara automatik.

Dalam pada itu, Aminuddin ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad menegaskan, kenyataan beliau berdasarkan keputusan terdahulu dan juga Perlembagaan parti.

Aminuddin tidak menolak kemungkinan Mohamad Rafie marah kerana kenyataan itu keluar daripadanya, namun, menyerahkan hal itu kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

"Kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk tentukan. Apa pun, beliau masih ada peluang untuk merayu," katanya selepas berkempen di Pasar Tani Paroi Jaya pada Ahad.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohamad Rafie bertanding di kerusi berkenaan mewakili Pakatan Harapan (PH) dan menang dengan majoriti 1,360 undi.

DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad Rafie, Tengku Zamrah (PH) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin calon Perikatan Nasional (PN).