KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu perlu bangkit dan mengubah sokongan mereka kepada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini adalah masa yang paling sesuai untuk rakyat menterjemahkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan jika tidak mahu menerima nasib seperti negeri lain yang dipimpin pembangkang.

"Kita takut apa yang berlaku di Kelantan, 33 tahun masalah air tak selesai... untuk rakyat Terengganu jangan pernah izinkan PAS perintah (negeri) untuk penggal yang kedua kali, cukuplah sekali sayang.

"Kita tahu Terengganu adalah swing state (keadaan politik berubah-ubah), kadang di atas kadang di bawah, dulu kalah, tapi kali ini Pakatan Harapan (PH) Barisan Nasional (BN) akan ambil alih kerajaan Terengganu dengan syarat penjelasan mesti disampaikan kepada seluruh pengundi Terengganu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata beliau sangat meyakini ulama kecuali ulama politik yang sering menyalah tafsir al-Quran dan hadis untuk kepentingan diri.

"Pemimpin itu kalau bercakap mesti benar, kalau berjanji mesti ditepati.

"Ulama itu mesti beri nasihat yang betul kerana ulama waris nabi. Kalau akhlak nabi baik, itulah sepatutnya sifat ulama," katanya.

Beliau berkata pemerintah juga sepatutnya adil kepada seluruh rakyat sebagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang adil dalam menyelesaikan masalah walaupun di negeri pembangkang seperti dalam menangani isu air di Kelantan.

"Tapi hakikatnya mereka (pembangkang) akan membenarkan yang batil dan mereka batilkan yang hak....

"Kita harap rakyat Terengganu akan bangkit dan tukar kerajaan negeri kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau turut menyeru jentera Perpaduan agar bekerjasama dengan baik bagi memenangkan calon-calon PH-BN pada pilihan raya negeri ini.

"Kita (BN) bantu juga untuk mereka (PH) di sini. Di negeri lain PH bantu calon BN, di sini BN bantu PH....

"Semangat Jentera Perpaduan tetap utuh dan perkasa," katanya.

-- BERNAMA