GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy antara nama yang tidak dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

Keputusan itu sekali gus memperlihatkan beliau tidak akan lagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Sebaliknya, DAP memutuskan untuk meletakkan calon muka baharu untuk mewakili kerusi berkenaan iaitu Sundarajoo Somu bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke ketika Majlis Pengumuman Calon-Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah di sini pada Selasa.

Beri peluang muka-muka baharu, elak parti jadi tidak relevan. - Loke


Selain Ramasamy, antara nama besar DAP yang digugurkan daripada bertanding adalah Ketua Wanita DAP, Chong Eng selepas parti itu menamakan Gooi Zi Sen (Daniel) untuk berentap di DUN Padang Lalang.

Daniel yang menyandang kerusi DUN Pengkalan Kota bagaimanapun digantikan dengan Wong Yuee Harng yang juga merupakan calon muka baharu.

Dalam pada itu, DAP juga tidak mengekalkan Syerleena Abdul Rashid bagi mempertahankan DUN Seri Delima dan meletakkan Tan Hooi Peng yang juga calon muka baharu.

Bagi kerusi DUN Sungai Puyu yang sebelum ini disandang oleh Phee Boon Poh bakal digantikan oleh anaknya, Phee Syn Tze.

Sebelum ini Loke menafikan akan mengugurkan Ramasamy daripada senarai calon yang bakal bertanding bagi PRN kali ini.

Secara keseluruhan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 33 daripada 40 kerusi yang dpertandingkan pada PRU14 yang lalu dan angka itu tidak termasuk parti Bersatu yang kini tidak lagi bersama PH.