SEREMBAN: Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Mohd Radzi terbuka dan bersedia sekiranya ditawarkan untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Bagaimanapun, sekiranya tidak dipilih sebagai calon, beliau berikrar akan tetap memberi sokongan penuh kepada calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang bakal dipertaruhkan pada PRN 12 Ogos ini.

“Saya datang nak menolong, saya bersedia, boleh (dicalonkan), (namun begitu), saya tak kisah saya dicalonkan atau tidak.

"Saya akan berikan sokongan 500 peratus kepada sahabat-sahabat (dalam PN) Insya-Allah (dan) saya akan turun berkempen,” kata Ras Adiba, yang juga merupakan bekas pembaca berita di sebuah stesen televisyen.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera PRN PN Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.

Pada majlis sama, Ras Adiba yang juga bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) membuat kejutan apabila menerima watikah keahlian untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diserahkan oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, keputusan menyertai Bersatu dibuat kerana berdasarkan pengamatannya, parti itu dapat membantu memperjuangkan nasib rakyat.

Beliau dalam masa sama optimis Bersatu adalah parti terbaik selain turut bertekad untuk memperjuangkan hak orang ramai terutamanya warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan.

Ras Adiba, 55 tahun, sebelum ini dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan OKU pada Mei 2020 lalu iaitu ketika pemerintahan kerajaan Muhyiddin.

Beliau turut melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Bernama.