SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta-merta.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan besar PN meraih sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) menandakan bahawa gabungan itu adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini.

Selain itu, beliau berkata UMNO telah menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

"Ini bermakna UMNO kalah 82 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi tersebut.

"PN juga berjaya memenangi kerusi campuran seperti Kulim dan kerusi majoriti kecil Melayu seperti Derga yang menunjukkan bahawa PN turut mendapat sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu.

"Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Ahmad Zahid.

"Maka benarlah pilihan raya negeri ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Anwar dan Ahmad Zahid yang menerajui gabungan ini mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta merta," katanya dalam sidang media di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kejayaan memenangi 22 kerusi di Selangor bermakna gabungan itu telah berjaya menaļ¬kan majoriti dua pertiga kerajaan PH-BN di negeri itu, yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat mereka.

Muhyiddin menambah beliau percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, PN akan berjaya merampas negeri Selangor.

"PN mempertahankan negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktikan sokongan padu pengundi-pengundi Melayu kepada PN.

"Pada masa yang sama, PN juga telah membuat 'major inroads' di negeri Selangor dengan memenangi 22 kerusi berbanding hanya lima kerusi yang disandang oleh PN sebelum ini.

"Kesemua 22 kerusi ini ialah kerusi majoriti Melayu yang membuktikan bahawa PN mendapat sokongan besar pengundi-pengundi Melayu di Selangor," ujarnya.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, di Pulau Pinang, seperti dijangka gelombang sokongan pengundi Melayu di negeri itu telah membawa kejayaan besar kepada PN.

Ujarnya, ia menjadi satu tamparan hebat kepada Anwar apabila semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi PN.

Dalam masa sama, Muhyiddin berkata PN bagaimanapun menghormati suara pengundi dan menerima keputusan pilihan raya ini dengan hati yang terbuka.