PRN Sabah: BN sasar rampas DUN Pintasan - Bung Moktar

Bung Moktar berucap pada Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Nanamun, Kota Belud malam tadi. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Nanamun, Kota Belud malam tadi.
Menurut Bung Moktar, semua calon yang dicadangkan parti mempunyai kelayakan masing-masing, namun BN akan memilih calon yang berpotensi besar untuk menang serta diterima rakyat.
“Semua calon yang dicadangkan mempunyai kelayakan masing-masing, tetapi kita akan memilih calon terbaik, calon yang mampu menang dan membawa suara rakyat.
“Kerusi ini (Pintasan) ialah kerusi yang kita bantu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dulu, dan kita melihat UMNO perlu merampas kembali kerusi ini sebab penyokong dan orang UMNO ramai di Pintasan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah turut menyeru semua jentera BN agar bersatu dan tidak berpecah dalam menghadapi PRN akan datang.
Pada PRN16, DUN Pintasan dimenangi oleh Datuk Fairuz Renddan yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), dengan majoriti 84 undi.
Selain BN, turut menyatakan minat untuk bertanding di kerusi berkenaan ialah Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN17 ialah pada 29 November, manakala hari penamaan calon pada 15 November.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

