PRN Sabah: Kerjasama GRS-PH buka laluan optimis selesai tuntutan 40 peratus hasil Sabah - Armizan

Armizan mengadakan sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau di sini, pada Ahad. - Gambar/ Astro AWANI
PAPAR: Kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dilihat mampu membuka laluan yang meyakinkan ke arah penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Ringkasan AI
- Kerjasama antara GRS dan PH dalam PRN-17 dilihat mampu memperkukuh usaha menyelesaikan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah, dengan pendekatan permuafakatan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta komitmen terbuka Perdana Menteri dalam semakan pemberian khas.
- GRS menjadikan tuntutan 40 peratus hasil sebagai teras utama manifesto PRN, berlandaskan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, dan menegaskan bahawa pengabaian formula asal adalah satu pengkhianatan terhadap perjuangan pemimpin terdahulu.
- Armizan Ali mempersoalkan tindakan kerajaan Warisan pada 2018 yang bersetuju dengan semakan kadar RM53.4 juta, disifatkan terlalu rendah berbanding kadar semasa RM600 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, serta menekankan keperluan ketelusan dalam keputusan Kabinet Sabah ketika itu.
“Jadi saya optimis, bersandarkan kepada apa? Kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan. Kita tengok nilai dan setakat ini kita melihat keterbukaan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar menegaskan, kepimpinan Perdana Menteri menunjukkan keterbukaan khususnya dalam isu semakan pemberian khas kepada Sabah.
“Salah satu contoh yang kita sebutkan ialah kalau dulu 45 tahun tidak disemak, ada orang semak tetapi bagi ciput (sedikit) sahaja.
“Tetapi beliau (Anwar) tingkatkan hari ini pada kadar RM600 juta. Adakah itu cukup? Belum cukup 40 peratus dan kita akan terus perjuangkan. Sekurang-kurangnya komitmen beliau adalah menyemak dan kadar itu jauh lebih tinggi daripada kadar yang diterima dulu,” tambah Armizan.
Dalam pada itu, Armizan memaklumkan tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri akan menjadi salah satu teras utama GRS dalam manifesto PRN-17, yang akan diumumkan kelak.
Menurut beliau, GRS komited memastikan perbincangan lanjut diteruskan, seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Ya, itu akan tetap menjadi perkara asas kerana kita mahu jumlah ini akan terus dibincangkan.
“Komitmen kita ialah formula asal Sabah berbeza dengan Sarawak, dan formula 40 peratus ini adalah hasil kebijaksanaan pejuang kita terdahulu.
“Kalau kita abaikan atau ‘let go’ formula ini, itu satu pengkhianatan. Jadi kita akan terus perjuangkan,” katanya.
Selain itu, Armizan mempersoalkan tindakan Parti Warisan (Warisan) yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana ‘tunduk’ dengan kadar semakan sebanyak RM53.4 juta ketika mentadbir Kerajaan Sabah pada 2018.
Tegas beliau, nilai semakan tersebut disifatkan kecil kerana kadar terakhir yang diterima Sabah adalah pada tahun 1973 iaitu sebanyak RM26.7 juta.
“Jadi persoalan saya kepada Warisan, pertama apakah asas kerajaan Warisan, pimpinan Shafie pada masa itu bersetuju dengan hanya kadar RM53.4 juta? Kadar yang amat rendah setelah 45 tahun tidak disemak.
“Kita mahu tahu bagaimana Kabinet Sabah dengan mudah meluluskan hanya kenaikan
pada kadar RM53.4 juta. Shafie sebut jangan pula dia salahkan PH, sebab dia yang pengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami