PRN Sabah: Kerusi DUN Sulaman, Lamag dijangka jadi medan pertembungan

Syahruddin berpandangan kerusi-kerusi tersebut bukan sahaja berpotensi menyaksikan perebutan hebat, tetapi menjadi pentas pertembungan antara pimpinan tertinggi parti. - Foto Astro AWANI/Nasruddin Samad
KOTA KINABALU: Beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka menjadi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 susulan pertembungan antara tokoh-tokoh besar politik yang mahu mengubah landskap politik negeri ini.
Ringkasan AI
- PRN Sabah ke-17 dijangka sengit dengan kerusi tumpuan seperti Sulaman (Hajiji Noor), Lamag (Bung Moktar), Sindumin, Karambunai dan Inanam berpotensi jadi medan pertembungan tokoh besar politik.
- Isu MA63 dijangka kurang dominan, pengundi lebih fokus kepada isu asas seperti infrastruktur luar bandar; lima bekas ADUN STAR dijangka pertahan kerusi masing-masing.
- SPR tetapkan pengundian pada 29 Nov, penamaan calon 15 Nov dan pengundian awal 25 Nov, melibatkan 73 kerusi DUN.
“Kerusi Sulaman yang dipertahankan oleh Datuk Seri Hajiji adalah kerusi yang amat getir tetapi saya yakin dengan rekod selama hampir 10 penggal, beliau dapat mempertahankan kerusi tersebut walaupun akan ditentang. Ini dengan tujuan untuk mengubah landskap politik negeri Sabah.
"Saya menjangkakan ada pertembungan secara langsung antara presiden atau timbalan presiden parti dengan penyandang kerusi-kerusi ini. Ini bukan semata-mata untuk merampas kerusi tetapi juga sebagai strategi teknikal untuk menunjukkan usaha mengubah status quo dan dominasi politik sedia ada dalam PRN kali ini,” katanya kepada Astro AWANI, di sini.
Sementara itu, Syahruddin menjelaskan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sering dijadikan naratif kempen oleh parti-parti politik di Sabah dijangka tidak lagi menjadi keutamaan utama oleh pengundi pada PRN17.
Sebaliknya, ujar beliau antara isu utama yang perlu diberi perhatian adalah infrastruktur asas seperti jalan raya, khususnya bagi penduduk luar bandar dan pedalaman.
"MA63 ini sudah diperjuangkan sekian lama. Malah, Presiden STAR sendiri (Datuk Seri Jeffrey Kitingan) pun sudah berjuang (lama) untuk MA63.
"Sejauh mana orang ‘beli’ ataupun menerima itu sebagai satu elemen perjuangan yang boleh mengangkat pemimpin-pemimpin Sabah. Jawapannya, sudah kita dapat dalam PRU dan PRN yang lepas,” kata Syahruddin.
Lima bekas ADUN STAR
Dalam pada itu, Syahruddin berkata lima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka terus mempertahankan kerusi masing-masing PRN17.
Ujar beliau, bagaimanapun STAR dijangka meletakkan calon mereka sendiri untuk mencabar kerusi yang dulunya dimenangi atas tiket parti tersebut.
Mengulas potensi lima bekas ADUN itu, Syahruddin berkata ia sangat bergantung kepada akar umbi, kekuatan jentera, naratif dan kepercayaan pengundi setempat terhadap calon, sama ada mereka bertanding atas nama GRS atau STAR.
"Ia bergantung kepada akar umbi, kemampuan akar umbi, naratif ataupun mesej, serta kempen penyandang itu terhadap penyokong-penyokong mereka, atas nama GRS, atau nama STAR.
"Ia juga suatu permainan 50-50, sama ada ia akan membunuh diri ataupun memberi manfaat kepada penyandang," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah pada 29 November depan.
Manakala, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 15 November dan 25 November.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami