POLITIK
PRN Sabah: Parti GAS tak ditaja untuk pecah undi

Jismit (tengah) bersama barisan pimpinan GAS selepas mesyuarat MKT parti di Kota Kinabalu. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Presiden Parti Gemilang Anak Sabah (GAS), Datuk Jismit Japong menegaskan bahawa parti yang dipimpinnya tidak pernah menerima sebarang pembiayaan daripada mana-mana pihak sekali gus menolak dakwaan kononnya GAS ditaja untuk memecahkan undi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Menurut beliau, apa yang penting bagi parti itu adalah kelayakan serta kemampuan calon untuk bersaing dan membawa sesuatu yang baik kepada rakyat, bukannya bergantung kepada kekayaan atau sumber kewangan yang besar.
“Saya boleh jamin, tidak ada perkara seperti yang didakwa orang. Dakwaan kononnya ada pihak tertentu menjadi penyumbang kepada parti ini, itu sama sekali tidak betul.
“Kami berusaha menyediakan dana sendiri dan sebahagiannya akan diumumkan kelak, namun isu paling utama ialah kemampuan untuk bertanding, bukan soal ‘funder’,” katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di sini semalam.
Diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya kewujudan GAS sebagai parti baharu di Sabah hanya bertujuan untuk mengganggu undi, Jismit menegaskan bahawa perkara itu tidak seharusnya dipertikai kerana ia adalah sebahagian daripada amalan demokrasi.
“Apabila banyak parti politik di Sabah tumbuh, itu sepatutnya tidak boleh dipertikai kerana kita mengamalkan sistem demokrasi.
“Demokrasi itu bebas, maknanya sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti politik,” ujarnya.
Jismit turut mempersoalkan mengapa wujud tanggapan bahawa sesebuah parti perlu mempunyai dana mencecah berbilion ringgit untuk bertanding, sedangkan kekayaan melampau parti politik berisiko menggalakkan amalan rasuah.
“Kalau parti terlalu kaya pun, ia tidak menjamin kebersihan politik. Sebaliknya, kami lebih menekankan kepada kemampuan individu calon yang mampu mencadangkan pembangunan baik serta menjana ekonomi di kawasan masing-masing,” ujarnya.
Sehubungan itu, tegasnya lagi, GAS tidak pernah menerima peruntukan daripada mana-mana ahli politik atau individu tertentu, malah menolak dakwaan kononnya parti itu mempunyai kaitan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ada juga yang bertanya kepada saya, kononnya parti ini disokong GRS. Saya kata, tanyalah mereka sendiri.
“Kami tidak berminat untuk berunding dengan mana-mana pemimpin yang sudah gagal, kerana apa yang berlaku hari ini rakyat sendiri sudah tahu,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami