Pas menegaskan tidak berasa terpinggir dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) yang tidak memperuntukkan sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sejak dari awal lagi sudah terlibat dengan rundingan dan perbincangan berhubung pengagihan kerusi.

Justeru, Tuan Ibrahim berkata, Pas mengambil sikap berjiwa besar dan bersetuju dengan pandangan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sebab mekanisme ataupun (langkah) menghadapi pilihan raya ni memerlukan strategi yang betul.

“Jadi, kita mengelak daripada perangkap yang dipasang oleh musuh supaya kalau kita turut bertanding, kita akan timbul pertembungan sesama sendiri dan natijah adalah kerugian kepada Muafakat Nasional,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pucuk pimpinan juga telah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Pas di Sabah bagi membincangkan berhubung ketiadaan kerusi di PRN negeri itu.

”Alhamdulillah walaupun saya rasa kecewa, itu tak boleh nafi memang ada di mana-mana, tetapi Alhamdulillah secara keseluruhannya kepimpinan Pas di Sabah dan jentera parti akur dengan keputusan dan kenyataan yang telah pun dibuat oleh Presiden (Abdul Hadi),” katanya.

Beliau dalam pada itu menzahirkan keyakinan bahawa PN mempunyai peluang besar untuk memenangi PRN Sabah.

Katanya, bilik gerakan bersama telah pun ditubuhkan dalam usaha membantu jentera parti berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah pada 26 September ini.