PRN Sabah: Tanding tiket PKR persetujuan pimpinan tertinggi parti - Jamawi

Jamawi antara 10 calon PKR bagi PRN Sabah ke-17 yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Pencalonan Datuk Jamawi Jaafar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, dibuat hasil persetujuan antara kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Ringkasan AI
- Pencalonan Datuk Jamawi Jaafar di DUN Melalap atas tiket PKR untuk PRN Sabah dibuat hasil persetujuan antara GRS dan PH setelah perundingan selama dua hingga tiga bulan.
- Keputusan bertanding atas tiket PKR bukan dibuat secara tergesa-gesa, tetapi melalui proses teliti dan perundingan antara kedua belah pihak.
- Kerjasama antara GRS dan PH dijangka memberi manfaat kepada penduduk Melalap, dengan fokus utama pada pembangunan sektor pertanian untuk meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
"Seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Amirudin Shari, proses mengenal pasti kuota untuk bertanding mengambil masa dua hingga tiga bulan.
"Dan selepas itu, proses untuk mengenal pasti calon juga mengambil masa yang cukup lama dan teliti. Dan diadakan perundingan-perundingan dengan kepimpinan di peringkat Gagasan Rakyat.
"Saya pun diberi maklum oleh Presiden Gagasan Rakyat (Datuk Seri Hajiji Noor) berkenaan dengan perundingan-perundingan tersebut, yang berjalan dua hingga tiga bulan yang lalu.
"Akhirnya, itulah keputusan yang terbaik bagi kedua-dua pihak," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau ditemui selepas Majlis Sesi Rapat Umum dan Pengumuman Calon PKR oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, malam tadi.
Mengulas mengenai penerimaan akar umbi Gagasan Rakyat terhadap keputusannya, Jamawi berkata, makluman telah diberikan lebih awal bagi memastikan penyokong memahami konteks kerjasama antara GRS dan PH di peringkat negeri.
Beliau yang juga bekas Ahli DUN (ADUN) Kemabong menambah, akar umbi menunjukkan sambutan positif terhadap keputusan tersebut kerana melihat peluang kerjasama itu sebagai jalan memperkukuh pembangunan di kawasan Melalap.
"Apa yang kita dapat di peringkat bawahan, kebanyakan mereka menilai gerak kerja. Apabila diumumkan berkali-kali oleh Ketua Menteri, bahawa GRS bekerjasama dengan PH tanpa pernah membelakangkan ataupun mengurangkan sedikit pun kenyataan beliau.
"Jadi daripada itu, pemahaman di peringkat ahli bahawa perundingan yang dibuat oleh kepimpinan kedua-dua parti adalah sudah meneliti semua aspek," katanya lagi.
Selain itu, Jamawi menekankan bahawa kerjasama antara GRS dan PH akan memberi manfaat kepada rakyat di DUN Melalap termasuk belia, wanita dan pembangunan infrastruktur.
Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang pertanian berkata, antara tumpuan utama jika diberi mandat ialah memajukan sektor pertanian di Melalap, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.
Ujarnya, kelebihan latar belakangnya sebagai bekas pegawai pertanian akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi kemajuan ekonomi rakyat di kawasan berkenaan.
"Kalau kita boleh memperkasakan sektor pertanian untuk penghasilan produk yang tinggi, dengan adanya kilang memproses hasil-hasil pertanian, saya rasakan ia akan dapat memberikan manfaat.
"Begitu juga kepada golongan wanita dan saya akan gariskan misi-misi saya ini pada 17 November depan," kata Jamawi lagi.
Selain Jamawi, seorang lagi Ketua Bahagian Gagasan Rakyat yang diumumkan sebagai calon PKR ialah Datuk George Hiew, diletakkan di Karamunting - kerusi yang dimenangi sejak dua penggal.
Pada PRN17, PKR meletakkan calon di 10 kerusi iaitu DUN Inanam, DUN Api-Api, DUN Merotai, DUN Melalap, DUN Sindumin, DUN Tulid, DUN Gum-Gum, DUN Karamunting, DUN Segama, serta DUN Petagas.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

