SIBU: Pertembungan lapan penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.52 Dudong tidak dipandang ringan oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Tiong King Sing.

Walaupun berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Parlimen Bintulu, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu masih berasakan tanggungjawab setiap calon adalah sama untuk memastikan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat terlaksana.

Jelasnya tidak ada istilah siapa yang hebat atau tidak hebat dalam dunia politik kerana setiap calon ada kelebihan masing-masing.

“Dalam dunia politik tidak boleh kata siapa yang hebat dan siapa yang tidak, tapi kita mesti lakukan yang terbaik untuk rakyat, setiap calon ada pasang surut dalam medan politik masing-masing.

“Walaupun saya lima penggal dalam Parlimen dan Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China bertaraf menteri, saya masih ahli politik seperti biasa, saya juga turun padang dalam masa yang sama menunjukkan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama media di Pusat Khidmat PDP Dudong di sini pada Selasa malam.

Dalam pada itu, King Sing turut menekankan beberapa perkara dan isu yang akan menjadi perhatian PDP di Dudong antaranya untuk menyelesaikan masalah banjir yang kian menghantui penduduk terutama ketika musim Monsun Timur.

“Saya difahamkan sejumlah RM6 juta peruntukan telah diluluskan untuk Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) membuat tinjauan di Sungai Rajang dan Sungai Igan dan mengenal pasti pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk megatasi masalah banjir di Dudong.

“Demikian kita akan senaraikan cadangan atau perancangan secara teknikal untuk menyelesaikan isu ini antaranya dengan melakukan proses mendalamkan dasar sungai,” katanya.

Selain PDP, tujuh lagi calon yang bertanding di DUN N.52 Dudong ialah Paul Ling Fong (DAP), Jane Lau Sing Yee (PBK), Wong Hie Ping (PSB), Josephine Lau (ASPIRASI), dan Julius Enchana (PBDSB).

Dua lagi calon Bebas yang turut berentap ialah Engga Unchat dan pengiat Youtube terkeal serta pengajar kursus digital, Fadhil Mohd Isa.