KUCHING: DAP Sarawak meletakkan beberapa syarat sebagai garis panduan sebelum kerjasama antara parti pembangkang dipersetujui bagi berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, bagaimanapun kerjasama tersebut mungkin tidak akan berlaku sekiranya ada antara calon parti pembangkang pernah melompat parti atau calon ‘katak’ selepas pilihan raya sebelum ini.

Jelas beliau kerjasama antara parti termasuk parti baharu Parti Sarawak Bersatu (PSB) sedang dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Sebelum kami mencapai apa-apa perjanjian antara faktor yang akan dipertimbangkan oleh kami (Pakatan Harapan) ialah sama ada calon tersebut pernah melompat parti atau tidak pada pilihan raya lalu.

“Individu yang dicalonkan oleh PSB mestilah seseorang yang bukan oportunis atau mempunyai trek rekod seseorang yang memang berjuang di atas pentas pembangkang,” katanya semasa sidang media khas di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini hari ini.

Ahli Parlimen Stampin itu juga berkata, dengan tempoh pilihan raya yang semakin dekat, pihaknya akan menerima apa sahaja kesan daripada keputusan yang dibuat.

Bagaimanapun menurut Chong, pihaknya juga perlu bersifat rasional dan mempunyai fleksibiliti dalam membuat keputusan kerana sukar untuk menidakkan fakta bahawa ada individu yang dicalonkan mempunyai sejarah lompat parti.

“Semua calon yang dipertaruhkan PSB pernah melompat parti dan adakah sebab itu kita tidak akan bekerjasama selama-lamanya, maka dengan itu kita mesti rasional dan fleksibel dalam membuat keputusan.

“Kita tidak akan seratus peratus menutup pintu untuk bekerjasama dengan pihak pembangkang dan saya juga tidak yakin sepenuhnya akan adanya kerjasama antara pihak pembangkang, namun saya percaya perbincangan ini akan lebih baik sekiranya dibuat lebih awal,” katanya.

Dalam pada itu, DAP katanya mempunyai pendirian yang sangat tegas dan membuka luas peluang untuk bekerjasama dengan calon-calon parti pembangkang yang benar-benar tulen atau konsisten besar dalam perjuangan.