BETONG: Hanya dua penjuru iaitu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Layar kali ini.

Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di DUN Layar ialah Datuk Gerald Rentap Jabu (PBB-GPS) dan Isik Utau (PSB) yang telah hadir mengemukakan kertas pencalonan nama di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sri Aman pada Isnin.

Pencalonan Datuk Gerald Rentap Jabu dicadangkan oleh Naib Ketua Cawangan PBB N.36 DUN Layar juga merangkap Ketua Ranting PBB Kampung Hilir, Abang Ullie Abang Pay dan disokong oleh Exco PBB Cawangan N.36 Cawangan Layar serta Pengerusi Gerempung Tuai Rumah N.36 Layar, Tr Gabriel Spencer Sang.

Manakala, pencalonan Isik Utau (PSB) dicadangkan oleh Bruno Steven Enggang dan disokong oleh Bujang Johari Anak Bala.

Tempoh bagi penyerahan borang penamaan calon adalah selama satu jam iaitu pada jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Penyerahan borang penamaan calon telah mengikut waktu yang ditetapkan dengan tiada calon yang bergejala atau menjadi kontak rapat dengan mana-mana pesakit COVID-19.

Mengulas mengenai proses penamaan calon di N.36 DUN Layar, semuanya berjalan lancar mengikuti Prosedur Standard Prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Daftar Pemilih Terkini setakat 2 November 2021, Statistik Jantina Mengikut Dewan Undangan Negeri di DUN Layar, sebanyak 4,611 (49.40%) jumlah pengundi adalah lelaki manakala 4,723 (50.60%) adalah perempuan dengan jumlah keseluruhan pengundi ialah 9,334.