KUCHING: Setiap program yang bakal dianjurkan sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-12 terutamanya yang mendekati rakyat perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan penduduk.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata calon-calon yang akan bertanding hendaklah tidak begitu ghairah berkempen dan berpolitik sehingga mengabaikan keselamatan masyarakat yang mereka lawati.

“Setiap calon perlu juga bertanggungjawab dalam menyediakan pelbagai perkara asas berkaitan keselamatan seperti penggunaan pelitup muka, cecair nyahkuman, serta membawa banyak kit ujian pantas bagi memastikan setiap warga jentera dan calon sendiri bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan Sesi Pertemuan NGO Sarawak bagi Program Budi Kita: Sarawakku Sayang di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.

Tambah Abdullah, apa juga prosedur operasi standard (SOP) yang dibentang perlu dipatuhi demi menjaga nyawa dan kesihatan setiap yang terlibat.

“Saya rasa PRN kali ini tidak akan senyap sahaja kerana ini bergantung kepada kreativiti calon masing-masing untuk memperkenalkan diri mereka tetapi ada sesetengah calon yang saya rasa telah melakukan kerja mereka lebih awal.

“Kita yakin kali ini juga masyarakat kita mampu menilai keadaan semasa berbanding cara mereka berfikir sebelum 2018, dan masyarakat juga cukup matang untuk melihat siapa yang menjanjikan bulan dan bintang dan siapa yang realisitik sebenarnya,” ujar beliau.

Untuk rekod, Abdullah  memenangi kerusi DUN Semop dalam PRN11 menentang calon daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Fadillah Sabal dengan majoriti 4,412 undi.