KUCHING: Jika Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, maka inilah peluang bagi beliau untuk membangunkan kawasan luar bandar, khususnya di Gedong.

Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pengundi kawasan luar bandar merupakan teras pengundi utama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Sebagaimana ketua-ketua menteri yang terdahulu memanfaatkan dan menjadikan luar bandar sebagai fokus utama yang dipertingkatkan.

“Dapat dilihat perubahan yang sangat drastik seperti dapat dilihat di Balingian dan Tanjung Datu yang berjaya dibangunkan dengan lebih pesat,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Awang  Azman mengulas tawaran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais kepada Abang Johari untuk bertanding  di DUN Gedong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

BACA: PRN Sarawak: Naroden buka laluan kepada Abang Jo jadi calon DUN Gedong

BACA: PRN Sarawak: 'Terima kasih beri ruang, saya akan pertimbangkan' - Abang Jo

Tambah Awang Azman, lazimnya dalam sejarah penyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak adalah yang mewakili kawasan luar bandar.

“Tun Taib misalnya sekian lama berada di DUN Asajaya berpindah ke DUN Balingian yang mempunyai hubungan dengan tempat sejarah kekeluargaannya di Balingian.

“Allahyarham Tan Sri Adenan Satem juga akhirnya bertanding di Tanjung Datu iaitu kawasan yang mempunyai akar sejarah keluarganya di Lundu,” katanya.

Beliau menambah sekiranya Abang Johari membuat kuputusan berpindah dari Satok ke Gedong ini bukanlah satu kejutan besar kerana beliau juga mempunyai hubungan erat dengan sejarah keluarga keluarga besarnya di Gedong.

“Ini bermakna, Abang Johari bukanlah asing bagi keluarga besar di Gedong,”tambahnya.

Beliau berkata impak Adenan diingati melalui Tanjung Datu sebagai penanda aras, begitu juga impak Taib di Balingian dan sudah tentu Abang Johari dijangka melakukan perkara yang sama.

“Ini dilihat apabila beliau meminta Naroden membantu membuat perancangan pembangunan di Gedong,

“Maka, kedudukan sebagai Ketua Menteri dan akan mampu pembangunan yang lebih pesat, cepat dan berdaya saing,” tegasnya.