KAPIT: Keputusan bagi membolehkan pengoperasian Pasar Pagi Kapit berlangsung seperti sediakala hanya boleh dilakukan selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut, sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas penilaian risiko dijalankan oleh KKM.

“Kita memang ada menerima keluhan dan komen daripada masyarakat setempat tentang sistem penggiliran yang diamalkan ketika ini.

“Namun kita perlu patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh KKM namun Majlis Daerah Kapit akan menulis surat secara rasmi kepada KKM.

“Dan segala jawapan sama ada dibenarkan kembali beroperasi secara harian atau sebaliknya hanya akan diketahui kelak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kapit berkata, keputusan mengamalkan sistem penggiliran itu dibuat bukan untuk membebankan peniaga.

Namun penularan pandemik COVID-19 perlu diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan peniaga dan pembeli di sini sentiasa terkawal sebaiknya.

“Keputusan ini dibuat bukan untuk menyusahkan dan membebankan peniaga.

“Namun COVID-19 ini perlu dicegah sebaiknya kerana lokasi ini merupakan pusat berkumpul warga Kapit.

“Kalau dibenarkan beroperasi secara harian mungkin akan berlaku penularan, jadi itu sebab kita cuba untuk mengawal sebaik-baiknya,” tambahnya.

Cerisologo berkata demikian sebagai respon kepada laporan Astro AWANI yang membawakan keluhan peniaga Pasar Pagi Kapit yang menggesa pihak berkuasa tempatan untuk menghapuskan sistem penggiliran dan membenarkan operasi perniagaan berjalan seperti biasa.

Sekiranya tidak dibenarkan, mereka memohon agar waktu operasi sekurang-kurangnya dipanjangkan.

BACA: PRN Sarawak: Peniaga Pasar Pagi Kapit mohon operasi perniagaan dipanjangkan

Ia disuarakan bagi memastikan golongan peniaga di sana boleh kembali menjana keuntungan seperti dahulu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Ketika ini mereka hanya dibenarkan beroperasi selama empat hari seminggu bermula hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad dari jam 6 pagi sehingga 2 petang.


PRN Sarawak | Peniaga pasar pagi mahu waktu operasi dipanjangkan