GEDONG: Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap kemenangan pertama Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak dapat dikecapi menerusi kerusi di Gedong.

Dengan kemenangan itu, Pengerusi GPS itu yakin ia akan membawa kepada kemenangan seterusnya bagi gabungan itu di kerusi-kerusi lain.

Sambil memberikan serangkap pantun, calon GPS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong itu turut menzahirkan terima kasih kepada bekas penyandang, Datuk Mohd Naroden Majais kerana setia bersama beliau.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Naroden tetapi Naroden satu bagusnya, dia ada pantun (ketika berucap). Mesti pantunnya anak berkonang-konang. Saya ubah sikit lah daripada Naroden.

“Anak bekut terkonang-konang, nikik (naik) basikal pergi kampung, 18 haribulan  (Disember) kita menang, mula dari Gedong.
 
“Jadi saya ucap terima kasih kepada semua, pada 18 (Disember) kita keluar, ikut SOP (prosedur operasi standard) dan beri kemenangan kepada Gedong ini.

“Jadi Gedong menang, tempat lain pun menang dan kita akan meneruskan usaha yang dirancang di situ,” katanya, di sini hari ini.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tinjauan Mesra di Kampung Semalatong, di sini.

Hadir sama, Mohd Naroden yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong.

Klik untuk dapatkan perkembangan terkini sepanjang kempen PRN Sarawak 2021

Sebelum ini, Mohd Naroden memberi laluan kepada Ketua Menteri Sarawak itu untuk bertanding di DUN Gedong bagi mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar.

Dalam masa yang sama, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu sekali lagi memberi jaminan pembangunan di Gedong akan terus dipergiatkan, khususnya selepas kawasan itu dinaiktaraf sebagai daerah.

Apabila pentadbiran di Gedong lengkap, Abang Johari menambah, kawasan itu dijangka dibangunkan sebagai sebuah daerah yang besar.

Ia sekali gus membolehkan kawasan itu dijadikan sebagai kawasan pertanian moden, selain lengkap dengan kemudahan asas, ujar beliau.

“Jadi terlalu awal untuk saya cakap lebih panjang kerana apabila menang pada 18 Disember ini, lebih panjang lagi ucapan saya.

“Waktunya itu kelak, baru kita lancar dan saya minta pegawai daerah yang baharu, kita bangunkan kompleks daerah yang baharu.

“Kita teruskan membangunkan Gedong sehingga Simunjan, dan kawasan-kawasan lain selepas 18 Disember,” ujarnya lagi.