MIRI: Sejarah pembangunan Miri tidak dapat dipisahkan daripada industri minyak dan gas yang menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonominya sejak lebih satu abad lalu.
Perkembangan industri berkenaan turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi peluang pekerjaan, pertumbuhan perniagaan sokongan serta permintaan terhadap pelbagai sektor perkhidmatan, termasuk pengangkutan, perhotelan dan peruncitan.
Selain itu, kedudukannya sebagai antara bandar utama di utara Sarawak menjadikan Miri destinasi kunjungan masyarakat dari kawasan sekitar termasuk dari Brunei.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, kru Astro AWANI berada di bandar raya itu untuk meninjau sentimen penduduk setempat terhadap pembangunan dan kemajuan Miri, selain menelusuri harapan serta aspirasi mereka mengenai hala tuju bandar raya berkenaan pada masa hadapan.
Tinjauan mendapati rata-rata penduduk meletakkan harapan terhadap pembangunan yang lebih menyeluruh, khususnya dalam aspek peluang ekonomi, infrastruktur dan kemudahan pengangkutan awam.
Bagi pekerja swasta, Fredrick Lesly Anak Elvis, tarikan Miri kepada pengunjung luar merupakan antara perkara yang mencerminkan perkembangan bandar raya itu, khususnya menerusi kepelbagaian premis perniagaan.
“Saya berharap kemajuan ini dikekalkan kerana kebanyakan orang dari luar, terutamanya dari Brunei, Bintulu dan Sibu, datang ke sini untuk menikmati hasil aktiviti ekonomi di Miri,” katanya.
Bagi peniaga Sandra Ahie pula, kemajuan Miri dapat dilihat menerusi perkembangan sektor perniagaan serta peningkatan kehadiran pelancong ke bandar raya berkenaan.
Selain perkembangan ekonomi, kemudahan infrastruktur khususnya jaringan jalan raya yang menghubungkan kawasan kampung turut menjadi antara harapan penduduk.
Seorang lagi peniaga, Rosita Uring Katan, berkata pembangunan Miri perlu turut memberi perhatian kepada penambahbaikan jalan raya bagi memudahkan pergerakan penduduk.
“Bukan sahaja dari segi bangunan, kita juga mahu tengok dari segi jalan raya. Semakin mudah untuk pergi ke kawasan kampung,” ujarnya.
Sementara itu, kemudahan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh turut menjadi antara perkara yang diharap penduduk bagi meningkatkan kemudahan pergerakan di bandar raya itu.
Bagi Siti Syahmina Wahiad yang juga seorang peniaga berkata meskipun perkhidmatan pengangkutan awam percuma telah disediakan, liputannya diharap dapat diperluas ke lebih banyak kawasan.
“Adalah lebih baik jika lebih banyak kemudahan pengangkutan awam disediakan.
“Sekarang memang sudah ada pengangkutan awam percuma, cuma ada kawasan tertentu sahaja yang diliputi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini.
Meskipun penduduk mempunyai harapan tersendiri terhadap hala tuju pembangunan Miri, usaha memperkukuh kesalinghubungan bandar raya itu diterjemahkan menerusi beberapa projek pembangunan strategik yang sedang dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Negeri.
Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pelaksanaan beberapa projek pembangunan strategik termasuk pembangunan Pelabuhan Miri, pembinaan rangkaian jalan raya ke kawasan pedalaman serta cadangan pembesaran Lapangan Terbang Miri dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan di Bahagian Miri serta wilayah utara Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata projek-projek berimpak tinggi itu akan memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan daya tarikan pelaburan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
Pada Mac lalu, beliau pernah menekankan peningkatan kesalinghubungan serantau melalui syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri, AirBorneo.
Untuk rekod, Parlimen Miri merangkumi tiga kawasan DUN iaitu Piasau, Pujut dan Senadin.
Menurut Statistik Daftar Pemilih SPR setakat 25 Okt 2026, kawasan DUN Senadin merekodkan jumlah pengundi berdaftar berusia 18 hingga 20 tahun tertinggi di Sarawak, dengan 6,119 orang pengundi.