Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: Pembangkang perlu kemuka tawaran baharu untuk cabar GPS

Kemampuan pembangkang turut bergantung kepada kualiti calon, sokongan setempat dan keupayaan memenuhi kehendak rakyat, ujar Nur Aida. - Gambar fail
Kemampuan pembangkang turut bergantung kepada kualiti calon, sokongan setempat dan keupayaan memenuhi kehendak rakyat, ujar Nur Aida. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pembangkang Sarawak perlu menawarkan manifesto segar dan meyakinkan sekiranya mahu mencabar dominasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Nor Aida Kipli berkata, tawaran politik baharu penting untuk menarik sokongan pengundi.

Menurutnya, kemenangan GPS di 76 daripada 82 kerusi pada PRN 2021 memberikan kelebihan besar kepada gabungan itu.

Namun, kekuatan GPS tidak bermakna pembangkang boleh dipandang rendah, terutama jika tampil dengan calon berwibawa dan dasar yang relevan.

"Kalau benda itu (manifesto) hanya daripada cold storage, benda yang sama, recycle, tidak ada benda baru untuk diperjuangkan, saya boleh katakan bahawa PRN kali ini mungkin akan menyebelahi kepada parti politik kerajaan GPS.

"Jadi cabaran kepada parti pembangkang perlu mencari keunikan untuk memperjuangkan manifesto dan menambat hati penyokong dan pengundi di Sarawak," katanya dalam Buletin AWANI pada Jumaat.

Nor Aida berkata, kemampuan pembangkang turut bergantung kepada kualiti calon, sokongan setempat dan keupayaan memenuhi kehendak rakyat.

Bagi GPS, PRN kali ini menjadi ujian terhadap rekod pentadbiran, pemilihan calon dan pembahagian kerusi antara parti komponen.

Beliau turut menekankan kepentingan menampilkan calon wanita dan golongan muda yang mampu memperjuangkan keperluan masyarakat.

"Ini menjadi cabaran dan peluang kepada mana-mana parti politik untuk menampilkan calon wanita serta calon muda yang mampu memperjuangkan kehendak dan keperluan masyarakat di kawasan masing-masing," katanya lagi.

Tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga dijangka kekal sebagai antara agenda penting dalam persaingan politik Sarawak.


 

Must Watch Video

Advertisement